
HSBC Bank Malaysia Bhd berkata, Manjeet Singh Dhillon mempunyai hak penggunaan tunggal dan eksklusif bagi perkhidmatan perbankan dalam talian yang diberikan kepadanya.
“Perkhidmatan itu hanya boleh diakses (menggunakan) PIN dan kod keselamatan yang dijana melalui telefon mudah alih plaintif (Manjeet), yang kesemuanya berada bawah pengetahuan dan jagaan (milik) tunggal dan eksklusif,” kata bank itu dalam pembelaannya yang difailkan awal bulan lepas.
HSBC berkata, menjadi tanggungjawab Manjeet untuk memastikan nombor pengenalan peribadi (PIN), peranti mudah alih dan kunci keselamatan mudah alih (MSK) selamat dan berada bawah kawalannya pada setiap masa.
“Oleh itu, plaintiflah yang bertanggungjawab sepenuhnya atas sebarang transaksi,” tambahnya.
Bank itu berkata, perkhidmatan perbankan dalam talian yang digunakan Manjeet telah diakses dengan nama penggunanya dan PIN bersama dengan “kod log masuk” yang dijana daripada MSK pada 14 Okt tahun lepas.
Katanya, pemindahan dana oleh pihak ketiga seterusnya dilaksanakan melalui perbankan internet tanpa perlu menjana kod pengesahan transaksi.
HSBC juga mendakwa, Manjeet telah mendedahkan maklumat penting kepada seorang pemanggil yang mengaku sebagai wakilnya.
Tambahnya, percubaan untuk mengesan dan mendapatkan semula dana yang dipindahkan daripada akaun Manjeet tidak berjaya kerana wang itu dikeluarkan serta-merta selepas urus niaga dilaksanakan.
HSBC berkata, pihaknya telah menjawab surat tuntutan oleh Manjeet bertarikh 17 Okt tahun lepas.
Katanya, sebarang kewajipan tortious yang didakwa terhutang oleh bank kepada Manjeet tidak boleh digantikan dan mesti konsisten dengan terma dan syarat perbankan dalam talian.
Manjeet mahu HSBC membayarnya RM200,000 atas alasan bank itu didakwa memudahkan pengeluaran “tipu” atas kecuaiannya.
Bekas presiden Badan Peguam Malaysia itu juga menuntut ganti rugi am untuk tekanan mental, kesakitan dan kebimbangan yang dialami berikutan transaksi berkenaan.
Peguam itu, yang memfailkan saman di Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Mac, berkata beliau membuka akaun dengan bank itu pada 2 Jan tahun lepas.
Katanya, beliau memasukkan RM200,000 ke dalam akaun baharu itu, iaitu jumlah minimum yang diperlukan untuk mengekalkan akaun.
Pada 14 Okt, dalam tempoh 20 minit antara 2.31 petang dan 2.51 petang, HSBC membenarkan 12 transaksi pengeluaran daripada akaun itu, dakwa Manjeet.
Beliau berkata, pihak bank hanya memaklumkannya tentang pengeluaran itu melalui mesej teks selepas semua transaksi selesai.
Manjeet berkata, bank tidak mendapatkan persetujuannya untuk transaksi itu kerana ia tidak menghantar kod kebenaran transaksi (TAC).
Beliau tidak mempunyai sebarang hubungan mahupun pengetahuan tentang penerima wang yang telah dikeluarkan.
Manjeet berkata, beliau berhak ke atas kewajipan berjaga-jaga oleh bank yang dilanggar apabila wang dipindahkan daripada akaunnya.