Insurans kesihatan negara langkah ke hadapan, kata ahli akademik

Insurans kesihatan negara langkah ke hadapan, kata ahli akademik

Skim itu akan menyuntik dana dalam sistem penjagaan kesihatan negara yang kekurangan dana, kata Prof Syed Mohamed Aljunid Syed Junid.

Skim insurans kesihatan nasional boleh menyediakan rawatan perubatan tanpa mengira keadaan perubatan semasa dan status ekonomi, kata Prof Syed Mohamed Aljunid Syed Junid.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik berharap skim insurans kesihatan nasional akan menjadi sebahagian Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan kerajaan di Parlimen.

Presiden Persatuan Ekonomi Kesihatan Malaysia, Prof Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, berkata skim insurans kesihatan nasional atau NHI akan membantu meningkatkan ketersediaan dana untuk penjagaan kesihatan.

Katanya, peruntukan tahunan untuk penjagaan kesihatan awam kurang 2.5% daripada KDNK sejak 1957. Gabungan perbelanjaan penjagaan kesihatan oleh kerajaan dan pesakit (perbelanjaan menggunakan wang sendiri) sekitar 4.5% daripada KDNK.

Beliau berkata, perbelanjaan menggunakan wang sendiri boleh menjadi mahal bagi mereka yang mempunyai dana terhad.

Menurutnya, skim pembiayaan kesihatan negara akan menyuntik wang dalam sistem penjagaan kesihatan negara yang kekurangan dana, dengan membabitkan sektor swasta untuk menyumbang kepada perkhidmatan mampu milik.

Skim NHI memerlukan caruman premium daripada kerajaan, majikan dan pekerja, yang lazimnya mandatori.

Bagaimanapun, kerajaan belum membahas atau memutuskan perkara ini.

“Walaupun dana individu terhad, NHI mengumpul risiko dan dana bersama serta membeli secara strategik dan menyediakan perlindungan lebih baik kepada individu memerlukan rawatan perubatan tanpa mengira keadaan perubatan semasa atau status ekonomi,” kata Syed Mohamed kepada FMT.

Bagaimanapun, Dr Lim Chee Han, penyelidik kanan bagi pertubuhan tidak berasaskan keuntungan, Third World Network menentang pelaksanaan NHI.

Ini kerana katanya, kos pentadbiran menguruskan skim itu tinggi – sekurang-kurangnya RM3.9 bilion.

“Ini lebih daripada anggaran RM2.4 bilion untuk kos pengurusan Kementerian Kesihatan di bawah Belanjawan 2023. Jika negara beralih kepada NHI, ia memerlukan tambahan RM 1.5 bilion.”

Menurutnya, Malaysia sudah mempunyai sistem penjagaan kesihatan awam baik yang dibiayai cukai am, oleh itu lebih baik memperbaiki perkhidmatan penjagaan kesihatan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.