Bentang akta iltizam kecekapan menjelang hujung tahun, kata Rafizi

Bentang akta iltizam kecekapan menjelang hujung tahun, kata Rafizi

Akta yang akan digubal itu bertujuan menyeragamkan peraturan memulakan perniagaan dan percepat proses kelulusan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata akta iltizam kecekapan kerajaan sebagai garis kecekapan dan penanda aras merumuskan kawal selia perniagaan.
PUTRAJAYA:
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata Putrajaya akan menggubal akta iltizam kecekapan kerajaan hujung tahun ini, bertujuan memudah dan menyeragamkan peraturan memulakan perniagaan.

“Jika kita bandingkan masa diambil untuk menubuhkan syarikat di Malaysia dengan negara lain, kita sebenarnya perlahan.

“(Banyak) prosedur perlu dipatuhi untuk mendapat kelulusan (memulakan) perniagaan. Akta ini akan membantu mempercepat proses berkenaan,” katanya pada pelancaran Laporan Ekonomi Terhadap Malaysia 2024 oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Katanya, akta tersebut meletakkan garis kecekapan dan penanda aras bagi merumuskan peraturan kawal selia perniagaan.

“Sudah tentu kita akan bangunkan dalam cara tidak terlalu memberi kesan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rafizi berkata kementeriannya sudah melengkapkan Kertas Putih Agenda Negara Menua.

“Ia akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada November dan menjadi sebahagian tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

Rafizi berkata, ia akan disiarkan kepada orang awam sebaik sahaja diluluskan kerajaan.

“Kementerian Ekonomi juga mencadangkan kertas putih itu dibawa ke Parlimen kerana perlu diketahui rakyat keseluruhannya,” katanya.

Dilaporkan, tahun lalu 15% populasi Malaysia meliputi penduduk berusia 60 tahun dan ke atas menjelang 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.