Tahap kesiapsiagaan aset ATM belum memadai, kata menteri

Tahap kesiapsiagaan aset ATM belum memadai, kata menteri

Menteri pertahanan berkata ATM memerlukan pemodenan pasukan termasuk melaksanakan perolehan baharu aset.

atm
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata ATM memerlukan aset baharu untuk menghadapi ancaman yang semakin kompleks. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dapatan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) mendapati tahap kesiapsiagaan semasa aset Angkatan Tentera (ATM) masih belum memadai untuk menghadapi ancaman moden yang semakin kompleks.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata disebabkan itu ATM memerlukan pemodenan pasukan termasuk melaksanakan perolehan baharu aset.

“Perolehan baharu seperti pesawat tempur ringan FA-50, pesawat rondaan maritim ATR-72 MPA, sistem udara tanpa pemandu jarak sederhana MALE UAS ANKA-S, kapal misi pesisir pantai Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 serta Littoral Combat Ship (LCS).

“Semuanya akan diterima ATM bermula antara tahun 2026 hingga 2030, mengikut jadual penghantaran,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran KSP KPP.

Untuk rekod, KSP KPP dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 25 Jun lalu.

Kajian itu merangkumi pelbagai usaha ke arah pembangunan keupayaan pertahanan kendiri negara termasuk aspek teknologi, sistem persenjataan, prasarana penyelenggaraan serta pemantapan modal insan tempatan.

Mengulas lanjut, Khaled berkata tahap kebergantungan kepada sumber luar dari segi aset, penyelenggaraan peralatan dan logistik bukan sahaja meningkatkan kos tetapi mendedahkan sektor pertahanan kepada risiko gangguan rantaian bekalan global akibat konflik antarabangsa.

Beliau berkata, pemerkasaan kesiapsiagaan aset juga menuntut pembangunan industri pertahanan tempatan seperti pengeluaran komponen dan penyelenggaraan secara domestik.

Katanya, hasil kajian itu mendapati ketegangan di Laut China Selatan meningkatkan risiko pertembungan ketenteraan yang tidak dirancang dan tidak diingini.

Menurutnya, kehadiran kapal perang kuasa besar dan peningkatan operasi pesawat tentera boleh memburukkan lagi situasi di rantau ini.

“Malaysia menegaskan segala penyelesaian pertikaian harus melalui saluran diplomatik, sejajar dengan prinsip United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982.

“Malaysia akan terus aktif melalui Asean dan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) bagi merangka Code of Conduct (COC) yang memupuk keyakinan bersama dan mengurangkan risiko konflik bersenjata,” katanya.

Sementara itu, Khaled berkata kajian itu turut menyenaraikan lima hala tuju strategik baharu untuk pertahanan negara yang lebih berdaya tahan antaranya meneruskan usaha reformasi dan transformasi ATM masa hadapan, pertahanan komprehensif dan perkongsian berwibawa.

Katanya, dua lagi hala tuju adalah sains, teknologi dan industri pertahanan serta transformasi, tadbir urus dan pembiayaan pertahanan.

Dalam majlis itu, Khaled turut mengumumkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) diluluskan Jemaah Menteri semalam dan akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Katanya, DIPN adalah sebuah rangka kerja strategik untuk memperkukuh kemandirian, inovasi dan kemajuan teknologi dalam industri pertahanan.

“Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan ini bukan sekadar sebuah dokumen rasmi tetapi ia adalah manifestasi komitmen Kementerian Pertahanan dan kerajaan untuk memastikan Malaysia terus kekal selamat, berdaulat dan makmur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.