
Muhammed Abdul Khalid berkata Asean, tidak seperti Kesatuan Eropah (EU), mempunyai kurang mekanisme untuk menguatkuasakan serta menyeragamkan undang-undang dan piawaian.
Beliau berkata EU boleh menuntut pematuhan daripada 27 negara anggotanya kerana ia mempunyai rejim penguatkuasaan undang-undang serta mahkamah supranasional.
“Adakah Asean mempunyai (mana-mana) mekanisme ini? Kosong. Adalah tidak realistik untuk menjangkakan 10 negara dengan sistem dan dasar yang sangat berbeza akan bersetuju dalam bidang teknikal seperti kecerdasan buatan (AI), tadbir urus data, atau piawaian rentas sempadan dalam masa 24 bulan.
“Jadi, terlalu optimistik bahawa kita boleh guna peraturan untuk capai matlamat Asean, saya fikir, ia adalah satu fantasi.”
Muhammed, yang menjadi penasihat ekonomi Dr Mahathir Mohamad semasa pentadbiran kedua beliau sebagai perdana menteri, berkata adalah sangat sukar untuk mengharapkan ekonomi yang kurang maju seperti Laos, Kemboja dan Myanmar menyesuaikan undang-undang negara mereka ke arah peraturan bersama.
Beliau turut mempersoalkan pendekatan dari atas ke bawah yang terlalu menumpukan kepada sektor swasta untuk memacu kesatuan Asean.
“Di mana perspektif 250 juta pekerja sektor tidak formal Asean? Atau 27 juta belia yang kurang bekerja? Jika Asean mahu mengelakkan tindak balas seperti yang dilihat di sesetengah bahagian EU – di mana integrasi ekonomi tidak dirasai semua pihak lalu mencetuskan dominasi politik sayap kanan – kita mesti bersifat inklusif,” katanya.
Muhammed berkata salah satu cabaran terbesar untuk kerjasama antara negara Asean ialah jurang besar antara negara anggota yang paling kaya dan yang paling miskin.
Beliau membandingkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura dengan Myanmar, dan menyatakan bahawa jurang antara negara dalam Zon Euro adalah jauh lebih kecil berbanding jurang dalam Asean.
Pada 2023, Singapura mencatatkan KDNK sebanyak USD501 bilion, manakala KDNK Myanmar hanyalah USD66.76 bilion.
“Untuk memastikan keterangkuman dalam Asean, kita mesti bercakap tentang wang. EU mengutip lebih 1% daripada KDNK-nya sebagai belanjawan serantau, manakala Asean tidak mengutip apa-apa. Kita mesti berhenti berpura-pura bahawa kerjasama serantau itu percuma.”
Terdahulu hari ini, Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi bersama Majlis Perniagaan AS-Asean melancarkan Kertas Putih bertajuk ‘Memacu Kesatuan Asean’.
Dalam ucapannya di majlis itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, berkata beliau berharap Asean dapat menjadi masyarakat kelas pertengahan menjelang 2045, sambil menambah bahawa blok itu perlu membuktikan komitmen melalui tindakan dalam kerjasama masa hadapan.
Sementara itu, Muhammed bersetuju dengan panelis lain, Ketua Pegawai Strategi TalentCorp, Nazrul Aziz, bahawa Asean perlu membuka lebih banyak pergerakan rentas sempadan antara negara anggota, khususnya melibatkan pelajar dan tenaga kerja.
Muhammed berkata lebih 10 juta orang bekerja merentasi sempadan di Asean tanpa perlindungan sosial yang mencukupi, dan kurang daripada 1% pelajar Asean menuntut di negara Asean yang lain.
“Malaysia boleh menerajui usaha menetapkan piawaian serantau untuk gaji minimum, jaringan keselamatan dan rentas sempadan mudah alih, yang memerlukan kerjasama dengan negara lain. Jika tidak, kita membazirkan kedudukan sebagai pengerusi Asean.”