
Zahid meminta rakyat memberi peluang kepada pentadbiran Anwar untuk menunjukkan “prestasi sebenar”.
“Peluang mesti diberikan kepada kerajaan perpaduan untuk memperlihatkan prestasi kerana tidak adil lempar soal prestasi pada kerajaan yang baru tujuh bulan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia Di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Semalam, media melaporkan hasil kaji selidik dijalankan Endeavour-MGC, mendapati 52% responden Melayu dan 46% responden semua kaum tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan perpaduan menangani isu inflasi dan kos sara hidup.
Kajian tersebut menunjukkan sekitar 22% daripada 1,068 responden melibatkan semua kaum mahu kerajaan memberikan keutamaan paling tinggi terhadap usaha mengurangkan inflasi dan menjana pertumbuhan ekonomi.
Zahid berkata prestasi wajar dinilai dari segi pelaksanaan, misalnya melaksanakan inisiatif-inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan negara.
Selain itu, memastikan dana rakyat diurus secara berhati-hati, dengan tatakelola yang baik dan telus agar tidak berlaku rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa.