
Berucap pada sidang konvensyen khas Pemuda, Akmal berkata sudah sampai masa kedua-dua parti Melayu-Islam terbesar itu bersatu di bawah satu bumbung demi kelangsungan survival bangsa.
“Penyatuan harus dimulakan oleh dua parti terbesar orang Melayu. Penyatuan Umno dan PAS, orang Melayu akan kembali kuat kerana kita orang Melayu adalah majoriti di sini.”
“Ini bukan soal saya atau karier politik saya…tetapi ini adalah maruah kita. Jika kita bersatu, Umno dan PAS, saya yakin orang-orang Melayu akan bangkit berdiri teguh bersama kita,” kata Akmal.
Konvensyen Pemuda Umno hari ini bertujuan menentukan sama ada parti itu kekal bekerjasama atau memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).
Ini selepas kegagalan pemimpin DAP, Yeo Bee Yin, memohon maaf berhubung hantaran ‘meraikan’ keputusan penolakan rayuan tahanan rumah, bekas perdana menteri, Najib Razak.
Awal minggu ini, Akmal berkata konvensyen itu dibuat bertujuan mengangkat suara sebenar akar umbi Umno yang masih setia dengan perjuangan parti.
Dalam ucapannya, Akmal berkata tiada apa yang patut Umno takutkan kerana pernah menjadi pembangkang 22 bulan sewaktu era pemerintahan PH, di bawah Dr Mahathir Mohamad, pada 2018.
Akmal mendakwa, kerajaan Madani sedia ada hari ini tidak akan jatuh jika Umno menarik kembali sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Umno tidak pernah meminta-minta. Kita tidak pernah pun mahu jadi kerajaan selepas kekalahan pada PRU yang lalu, tetapi kita patuh pada titah Tuanku.”
“Tapi sekarang masa sudah berubah, jika Umno jadi pembangkang pun, kerajaan masih lagi ada cukup kerusi. Jadi kamu (PH) tadbirlah biar Umno jadi pembangkang,” tegas Akmal lagi.
Namun, Akmal bertegas beliau bukan mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada, namun berkata bahawa mandat harus diberikan semula kepada rakyat jika tiada pilihan lain.
“Prinsip saya kekal dari dahulu. Sewaktu PH 1.0 kita sudah kata serah kepada rakyat untuk memilih. Saya tidak akan benarkan kerajaan ‘tebuk atap’ untuk merampas kuasa.”