
Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Johor, Nurul Hizam Zakaria, berkata pegawai menemui peluru meriam yang tidak meletup ketika menaiki kapal berdaftar di China tersebut, yang ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran pada hujung minggu lalu.
“Siasatan kami kini terarah pada asal-usul peluru meriam ini. Ketika ini, pegawai daripada pelbagai agensi sedang mengeledah kapal yang besar ini,” katanya kepada AFP.
Nurul Hizam berkata kapal dari Fuzhou itu mempunyai kru seramai 32 orang yang terdiri daripada 21 warga China, 10 warga Bangladesh, dan satu warga Malaysia, di mana sebahagian mereka ditahan polis untuk disoal siasat.
“Kes ini juga melibatkan penemuan bahan letupan,” katanya.
Seorang pegawai Maritim Malaysia memberitahu AFP bahawa kepingan logam dan peluru meriam itu mungkin berasal dari dua kapal perang Britain yang karam.
Foto dan video yang dikongsi oleh Maritim Malaysia menunjukkan kepingan logam yang berkarat dan peluru meriam serta kren besar dan peralatan untuk memotong logam di atas kapal.
Menurut kenyataan agensi itu pada Isnin, peluru meriam itu juga dipercayai ada kaitan dengan penemuan bahan letupan era Perang Dunia Kedua yang tidak meletup di sebuah jeti di Johor pada 19 Mei.
Nurul Hizam berkata pihaknya tidak akan bertoleransi dengan sebarang aktiviti penjarahan di perairan Malaysia.
“Harta negara mesti dilindungi dan dipelihara,” katanya, yang menganggap penjarahan sebagai “tindakan yang tidak bertamadun”.
Beratus-ratus kelasi Britain terbunuh ketika kapal HMS Prince of Wales dan HMS Repulse ditenggelamkan oleh pesawat Jepun di Laut China Selatan.
Serangan pada 10 Dis 1941 berlaku tiga hari selepas Jepun menyerang armada Amerika Syarikat di Pearl Harbour, Hawaii.
Kementerian Pertahanan Britain mengutuk “penghinaan” terhadap kubur-kubur tentera laut setelah laporan bahawa pencuri besi menyasarkan dua bangkai kapal Perang Dunia Kedua, lapor BBC pada hari Sabtu.