Maritim nafi dakwaan serbu Masjid Rusila, anggap tuduhan Takiyuddin fitnah jahat

Maritim nafi dakwaan serbu Masjid Rusila, anggap tuduhan Takiyuddin fitnah jahat

Ketua Pengarah Maritim Malaysia menegaskan pasukan elit hanya jalani latihan taktikal dan tidak pernah menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan.

maritim masjid
Mohd Rosli Abdullah jelaskan anggota Maritim Malaysia menjadikan Masjid Rusila sebagai lokasi beriktikaf dan berehat selepas solat Asar sebelum tugasan latihan pada 19 Sept lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan, kononnya pasukan elit agensi itu melakukan serbuan di Masjid Rusila, Marang pada 19 Sept lalu.

Ketua Pengarahnya Mohd Rosli Abdullah berkata tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan serta moral anggota elit negara.

“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi,” katanya dalam kenyataan sambil dakwaan Takiyuddin sebagai satu fitnah jahat.

Beliau menjelaskan aktiviti dikaitkan dengan kejadian itu hanyalah latihan taktikal di bawah modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).

Menurutnya, latihan berkenaan penting bagi membentuk daya tahan, disiplin, serta kemahiran anggota dalam berinteraksi dengan masyarakat ketika melaksanakan misi penyamaran.

“Masjid berkenaan hanya menjadi lokasi pelatih beriktikaf dan berehat selepas solat Asar sebelum tugasan seterusnya.

Pihak masjid juga dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih, dan tiada gangguan terhadap jemaah atau aktiviti keagamaan berlaku,” katanya.

Tambah Mohd Rosli, tiada sebarang kekerasan atau tindakan tidak wajar dilakukan seperti didakwa, malah elemen keagamaan turut diterapkan dalam latihan untuk membentuk jati diri serta integriti anggota.

Beliau turut menjelaskan, isu laporan polis yang timbul telah diselesaikan secara baik selepas pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku.

“Latihan STAR Team direka untuk melahirkan anggota maritim yang cekap, berani dan berakhlak, serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.