Fahmi beri amaran tindakan menanti Telegram jika terus abai jemputan

Fahmi beri amaran tindakan menanti Telegram jika terus abai jemputan

Menteri komunikasi dan digital itu berkata, pelbagai aduan mengenai perkhidmatan Telegram diterima, justeru perbincangan penting bagi mencari penyelesaian segera.

Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya menjemput Telegram untuk bertemu sejak Januari lalu, tetapi mereka enggan bekerjasama sehingga hari ini. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Penyedia perkhidmatan Telegram boleh dikenakan tindakan, jika terus mengabaikan jemputan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk berbincang dan mencari penyelesaian berhubung beberapa aduan, kata Menterinya, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan mengenai perkhidmatan disediakan platform itu, berkaitan keselamatan awam, aktiviti jualan bahan terlarang, “scammer” serta pornografi, justeru perbincangan dengan penyedia perkhidmatan itu penting bagi mencari penyelesaian segera.

“Kita akui hadapi masalah dengan pihak Telegram. Walaupun dijemput untuk bertemu sejak Januari lepas, sehingga hari ini mereka enggan beri kerjasama. Berbanding platform lain, kita tidak lihat kesungguhan pihak Telegram memberi kerjasama.

“Saya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia meneliti apakah tindakan wajar yang perlu diambil,” katanya selepas melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 di Esplanade Taman KLCC

“Saya serahkan kepada SKMM sebagai badan kawal selia bertanggungjawab untuk mengesyorkan apa tindakan yang perlu diambil. Saya masih menunggu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.