
Chow, yang juga ketua menteri Pulau Pinang, menegaskan pembahagian kerusi untuk PRN masih dalam rundingan, dengan komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA melobi kerusi.
Adun Padang Kota itu berkata, pimpinan pusat parti gabungan masing-masing akan membincangkan tuntutan bertindih terhadap kerusi tertentu, manakala kerusi tanpa sebarang “isu” akan dimuktamadkan di peringkat negeri.
Katanya, keputusan muktamad akan dibuat oleh pimpinan pusat parti gabungan masing-masing.
“Rundingan masih berjalan dan mereka yang bertanggungjawab akan membuat pengumuman selepas rundingan selesai. Dalam rundingan terbaru, BN datang dengan delegasi daripada Umno, MIC dan MCA.
“Ia (rundingan) akan diteruskan minggu ini di peringkat kebangsaan,” kata Chow kepada pemberita di Komtar.
Ia susulan laporan Guang Ming Daily memetik sumber MCA sebagai berkata, parti itu diperuntukkan 10 kerusi DUN untuk ditandingi pada PRN akan datang, di mana dua daripadanya di Pulau Pinang.
Laporan itu menunjukkan kepimpinan pusat MCA menuntut untuk bertanding sekurang-kurangnya 10 kerusi bagi PRN.
PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu dijangka diadakan pada Julai.
Pada PRU14, MCA gagal memenangi mana-mana daripada 40 kerusi DUN yang dipertandingkan di enam negeri itu.
MCA bertanding 10 kerusi DUN di Pulau Pinang, Selangor (14), Negeri Sembilan (10), Kedah (4), masing-masing satu di Terengganu dan Kelantan.