Program Visa Premium: Hanya 2 pemohon lulus setakat ini

Program Visa Premium: Hanya 2 pemohon lulus setakat ini

Jabatan Imigresen menerima 28 permohonan untuk program itu sejak permohonan dibuka pada 1 Okt tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata dua permohonan yang diluluskan itu terdiri daripada satu prinsipal dan tanggungannya. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen hanya menerima 28 permohonan untuk Program Visa Premium (PVIP) sejak permohonan dibuka pada 1 Okt tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, 28 permohonan itu terdiri daripada 14 peserta dan 14 tanggungan. Daripada jumlah itu hanya dua permohonan diluluskan setakat ini membabitkan satu prinsipal dan satu tanggungan.

“Baki permohonan masih dalam proses semakan dan tapisan keselamatan polis,” katanya dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.

Program itu diumumkan pada September tahun lalu dengan harapan dapat menarik pelabur kaya untuk menetap di negara ini, sama seperti inisiatif Visa Emas di Singapura, Thailand dan Portugal.

Menteri dalam negeri ketika itu Hamzah Zainudin berkata program itu terbuka kepada semua individu dari seluruh dunia kecuali negara yang tiada hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin berkata, program Malaysia My Second Home (MM2H) menyaksikan sebanyak 5,610 permohonan diluluskan bagi 2018 dan 3,929 kelulusan bagi 2019.

Program itu dibekukan pada 2020 akibat Covid-19. Bagaimanapun, pada Oktober 2021 sehingga penghujung tahun 2022 sebanyak 1,468 permohonan diluluskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.