Jenazah Awang Askandar tiba di kem 3

Jenazah Awang Askandar tiba di kem 3

Ketua ME 2023, Azim Afif Ishak berkata jenazah dibawa turun dari kem empat dengan bantuan enam malim gunung secara manual menggunakan pengusung.

Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub meninggal dunia pada 10.30 pagi Jumaat lalu (waktu Nepal), selepas mengalami masalah kesihatan ketika berada di ketinggian 8,000m dari aras laut. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di kem tiga pada 7 pagi tadi (waktu Nepal).

Ketua ME 2023, Azim Afif Ishak berkata jenazah dibawa turun dari kem empat dengan bantuan enam malim gunung secara manual menggunakan pengusung.

Katanya, pasukan penyelamat berehat sebentar selepas berhempas pulas selama sembilan jam bergilir-gilir mengusung jenazah sebelum meneruskan perjalanan ke kem dua.

Beliau berkata, cuaca ketika ini kurang baik kerana berangin dan mendung, dengan suhu sekitar negatif 23 darjah Celcius.

“Perjalanan dari kem tiga ke kem dua dijangka mengambil masa dua jam dan ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya menurut Berita Harian.

Jenazah pengarah Pertahanan Awam (APM) Kedah berusia 56 tahun itu sepatutnya dibawa turun Isnin lalu, namun tertangguh akibat faktor cuaca.

Allahyarham meninggal dunia pada 10.30 pagi Jumaat lalu (waktu Nepal), selepas mengalami masalah kesihatan ketika berada di ketinggian 8,000m dari aras laut, ketika beliau hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak Everest.

Azim berkata, setiba di kem dua, jenazah akan diterbangkan dengan helikopter ke Everest Base Camp (EBC) dan dibawa ke hospital di Kathmandu untuk proses lanjut.

Katanya, jika keadaan cuaca mengizinkan, jenazah dijangka diterbangkan ke Kathmandu pada 1 tengah hari (waktu Nepal).

Imej satelit

Azim berharap permohonan pasukan ME 2023 untuk mendapatkan imej satelit bagi mengesan seorang lagi pendaki Malaysia, Muhammad Hawari Hashim yang hilang sejak Jumaat lalu, dipenuhi pihak berkuasa.

Katanya, usaha menjejakinya menerusi jalan darat dan udara tidak berhasil, dengan skop pencarian ketika ini dibesarkan ke kem empat yang dibantu empat malim gunung.

“Kawasan kem empat ini sangat luas kerana ia membabitkan sempadan Nepal-Tibet,” katanya menurut Utusan Malaysia sambil menambah pihaknya sudah memaklumkan kehilangan Hawari kepada pihak berkuasa Tibet.

Setakat semalam, katanya, skop pencarian meliputi tiga kawasan utama di kem dua dan tiga, tetapi tiada tanda-tanda Hawari pernah berada di sana.

Beliau berkata, misi mencari dan menyelamat menerusi udara juga dilakukan sejak hari pertama membabitkan tinjauan dari aras 8,300m sehingga 5,345,.

“Menerusi tinjauan itu, ada beberapa tinggalan lama ditemui, namun kelibat Hawari tidak kelihatan. Semoga segala usaha lancar dan berharap Hawari segera ditemui. Terima kasih semua yang doa dan bantu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.