Ugut ibu dengan pisau, duda dipenjara 2 tahun

Ugut ibu dengan pisau, duda dipenjara 2 tahun

Tertuduh merayu hukuman penjara minimum kerana menyesali perbuatannya dan perlu menanggung tiga anak dengan pendapatan RM800 sebagai nelayan.

Majistret memutuskan hukuman penjara 24 bulan ke atas tertuduh dilaksanakan mulai tarikh tangkapan 18 Mei lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang duda dihukum penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka selepas mengaku bersalah mengugut ibu kandungnya untuk mendapatkan wang.

Sinar Harian melaporkan Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu ke atas Wira Md Aris, 41, yang membuat pengakuan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Ara Sembok, 66, dengan maksud hendak menakutkannya menggunakan sebilah pisau dalam keadaan marah untuk meminta wang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 5 petang di ruang dapur rumah bernombor di Bertam Malim di Melaka pada 22 Sept 2022.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha mencadangkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kerana tertuduh menakutkan mangsa menggunakan pisau.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu hukuman penjara minimum kerana tertuduh menyesali perbuatannya dan perlu menanggung tiga anak dengan pendapatan RM800 sebagai nelayan.

Mahkamah memutuskan hukuman penjara ke atas tertuduh dilaksanakan mulai tarikh tangkapan, iaitu 18 Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.