Shereen dapat bantuan KBS RM400,000

Shereen dapat bantuan KBS RM400,000

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, bantuan kewangan itu bermula 1 Jun ini hingga Julai 2024.

Bantuan kewangan itu untuk membolehkan Shereen Samson Vallabouy meneruskan latihannya di Amerika Syarikat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemenang pingat emas Sukan SEA, Shereen Samson Vallabouy akan menerima bantuan kewangan sehingga RM400,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, bantuan kewangan komprehensif bermula 1 Jun ini hingga Julai 2024 untuk membolehkan pelari negara itu meneruskan latihannya di Amerika Syarikat.

Beliau dalam sidang media di Parlimen berkata, bantuan tunai itu akan membantu menampung kos penginapan dan kejurulatihan, elaun makan, krioterapi, yuran kejohanan dan perbelanjaan lain.

FMT sebelum ini melaporkan Shereen berdepan masalah kewangan untuk meneruskan latihannya.

Sementara itu, Yeoh berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) sedang berbincang dengan pelari pecut berusia 19 tahun, Umar Osman bagi mengenal pasti jenis sokongan diperlukan pemenang pingat emas Sukan SEA itu untuk terus maju dalam kerjaya olahraganya.

Umar membuat kejutan pada penampilan sulung Sukan SEA di Phnom Penh bulan ini dengan menjuarai acara 400m lelaki dan mencipta rekod kebangsaan baharu 46.34s. Rekod lama 46.41s dicipta 22 tahun lalu oleh Zaiful Zainal Abidin di Kejohanan Remaja Asia.

Shereen, 25, memenangi pingat emas dalam acara 400m wanita, selepas mencatatkan 52.53s, meninggalkan pelari Vietnam, Nguyen Thi Huyen (53.27s) dan Nguyen Thi Hang (53.84s) di Phnom Penh.

Kemenangan itu menamatkan kemarau 24 tahun untuk emas dalam acara terbabit, dengan pingat emas terakhir dimenangi N Manimagalay pada Sukan SEA 1999 di Brunei.

Ibu Shereen, Josephine Mary yang juga bekas jaguh balapan negara, menyifatkan bantuan KBS itu “kelegaaan besar” buat keluarganya.

“Ini akan menggalakkan atlet muda lain juga,” katanya yang hadir di sidang media itu.

“Sebagai atlet, jika anda bekerja keras, giliran anda akan tiba. Hari ini ialah harinya (Shereen).”

Katanya, Shereen kini menyasarkan pingat di Sukan Asia dan mara ke final Sukan Olimpik.

Yeoh berkata, bukan semua atlet yang memenangi pingat emas di Sukan SEA akan menerima bantuan.

Katanya, MSN menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk atlet dan KBS sedang mengkaji data ini untuk cari cara terbaik membantu atlet terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.