Semak tawaran agresif pinjaman bank, firma e-wallet, kata Ahli Parlimen

Semak tawaran agresif pinjaman bank, firma e-wallet, kata Ahli Parlimen

Khoo Poay Tiong berkata 49% kes bankrap melibatkan pinjaman peribadi.

Khoo Poay Tiong berkata, mendapatkan pinjaman peribadi dilihat semakin mudah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Backbencher kerajaan Khoo Poay Tiong (PN-Kota Melaka) menyeru Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia
menyemak tindakan bank dan syarikat e-wallet menyediakan akses mudah kepada sesiapa sahaja mendapatkan pinjaman peribadi.

Dalam perbahasan berhubung pindaan Akta Insolvensi, Khoo berkata, berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi, 49% kes bankrap melibatkan mereka yang mengambil pinjaman peribadi seperti itu, manakala 17% kerana pinjaman perniagaan, dan 11% bagi pinjaman sewa beli kenderaan.

“Jelas sebab utama bankrap kerana gagal membayar balik pinjaman peribadi, yang mana hampir separuh daripada keseluruhan kes (bankrap).

“Ini membimbangkan. Saya minta penjelasan lanjut daripada menteri – jenis apakah pinjaman peribadi ini?

“Adakah ia merujuk kepada pinjaman peribadi oleh bank komersial? Kita perlu buat semakan perkara ini,” katanya.

Beliau membangkitkan kegusaran itu berhubung kemungkinan bank dan penyedia e-wallet secara agresif memasarkan produk pinjaman peribadi sehingga menjejaskan orang awam.

Ahli Parlimen itu juga berkongsi pengalamannya pagi ini apabila menerima emel menawarkan pinjaman RM20,000 bagi tempoh 24 bulan.

“Hanya dengan beberapa klik sahaja pada telefon bimbit, saya boleh mendapat pinjaman peribadi RM20,000. Cukup mudah,” kata Khoo.

Beliau berkata, penting bagi Putrajaya menyediakan kesedaran fiskal di sekolah dan institusi pengajian tinggi memandangkan kurangnya pengetahuan pengurusan kewangan dalam kalangan belia.

Khoo juga berkongsi perbualannya dengan seorang graduan, yang dibebani hutang kredit kad, sambil menyatakan belia tidak sedar membayar jumlah minimum hanya menjurus masalah kewangan lebih besar.

Katanya, belia itu tidak sedar jika membayar jumlah minimum sahaja hutang berbaki turut melibatkan kadar faedah tahunan yang tinggi sekitar 6 ke 8%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.