Bantahan awal terhadap rayuan Bung, Zizie didengar 7 Julai

Bantahan awal terhadap rayuan Bung, Zizie didengar 7 Julai

Pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal kerana Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa mendengar rayuan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap pasangan itu.

Bung Moktar Radin dan Zizie Izette mencabar keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Julai depan mendengar bantahan awal pendakwaan terhadap rayuan Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan peguam pasangan itu, Teh See Khoon, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

Pendakwaan mengemukakan bantahan awal atas alasan Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pasangan itu kerana keputusan Mahkamah Tinggi bukan suatu keputusan yang boleh dirayu mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Pada 2 Sept 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad berjumlah RM150 juta.

Pada 9 Dis tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang menyebabkan mereka memfailkan rayuan.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama, pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.