Pengasas pusat tahfiz berdepan 3 lagi tuduhan jenayah seksual

Pengasas pusat tahfiz berdepan 3 lagi tuduhan jenayah seksual

Tertuduh berusia 40 tahun membuat pengakuan tidak bersalah atas semua pertuduhan itu.

Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, sebelum ini dihadapkan ke mahkamah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Pengasas sebuah pusat tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka, atas tiga lagi pertuduhan melakukan jenayah seksual termasuk merangsang seorang pelajarnya melakukan kelucahan melampau.

Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin, menurut Harian Metro.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun iaitu dengan mencium mulut mangsa pada pertengahan Mac lalu, kira-kira jam 3 petang di bilik rumah guru Pusat Tahfiz Islah, Tanjung Minyak, Alor Gajah.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK) iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap mangsa sama di tempat, masa dan tarikh sama yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan.

Mengikut pertuduhan ketiga pula, dia didakwa dituduh merangsang mangsa sama melakukan kelucahan melampau di rumah guru Pusat Tahfiz At-Tayyibat, Alor Gajah, pada 28 April lalu, kira-kira 1.30 pagi.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377E KK yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 15 tahun serta sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Faathir Imran Firdaus

Terdahulu, Anis Najwa membantah jaminan atas alasan tertuduh pernah dituduh atas jenayah sama pada 2019 yang mana kes dilepaskan tanpa dibebaskan berikutan mangsa (saksi) berada di Sabah serta dibimbangi mengulangi kesalahan sama jika dibenarkan ikat jamin.

Katanya, tertuduh juga didakwa atas pertuduhan sama dua hari lalu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pendakwaan tidak menawarkan jaminan.

Peguam memohon jaminan dibenarkan atas alasan mahkamah mempunyai budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah untuk memberikan jaminan bagi kesalahan tidak boleh dijamin.

Katanya, anak guamnya turut diberi jaminan untuk satu kes di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selain isterinya sarat mengandung.

Nariman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin bercagar dan syarat tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi dalam apa juga cara.

Mahkamah menetapkan 26 Jun untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Rabu lalu, tertuduh berdepan lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya termasuk mangsa sama sejak tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.