
Dua pemimpin bahagian yang enggan dinamakan memberitahu FMT, lanjutan kontrak Azam bertentangan pembaharuan dijanjikan PH menjelang PRU15.
“Sebelum kami mengambil alih kerajaan, kami habis-habisan mahu memastikan Azam meletak jawatan, jadi lanjutan kontrak ini amat mengecewakan,” kata seorang pemimpin DAP Selangor.
“Terasa seolah-olah apa yang kami perjuangkan dan bantah di jalanan seperti tidak bererti. Kami juga agak malu kerana menggalakkan pembaharuan, tetapi pemimpin gabungan kami memutuskan untuk mengekalkan Azam,” katanya merujuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Seorang lagi pemimpin akar umbi berkata, dalam satu ceramah PRU15 dihadirinya, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan PH akan “mengejar” Azam, sekiranya gabungan itu berkuasa, dengan hadirin riuh menyokongnya.
“Janji seperti itu antara sebab rakyat undi kami,” kata pemimpin berpangkalan di Johor itu.
Tetapi, katanya, kegagalan PH memenuhi pembaharuan dijanjikan menunjukkan gabungan itu tiada beza dengan lawannya.
“Saya tidak lihat orang ramai dapat mempercayai kami pada masa depan,” katanya.
Isnin lalu, Anwar mempertahankan keputusannya melanjutkan kontrak Azam selama setahun kerana berpuas hati dengan prestasinya, tetapi keputusan itu dikritik beberapa pihak, dengan Muda Selangor menyifatkannya ironi memandangkan pemimpin PH menyertai protes #TangkapAzamBaki tahun lalu susulan kontroversi pemilikan saham Azam.
Sementara itu, seorang pemimpin bahagian PKR bersetuju dengan keputusan Anwar melanjutkan kontrak Azam yang disifatkannya “langkah baik”.
“Jika Anwar menggantikan Azam dan seorang pemimpin pembangkang didakwa rasuah, Anwar akan dituduh mendalanginya,” kata pemimpin yang enggan dinamakan itu.
Menurutnya, adalah normal segelintir pemimpin akar umbi tidak berpuas hati kerana nama mereka mungkin terjejas memandangkan PH pernah mendakwa SPRM dijadikan alat politik ketika ia menjadi pembangkang.
Beliau percaya Anwar berhati-hati melakukan perubahan dalam kerajaan bagi menjaga hati kakitangan awam.
“Satu kesilapan besar Dr Mahathir Mohamad adalah melantik Latheefa Koya mengetuai SPRM. Beliau tidak pernah menyertai perkhidmatan awam, namun dijadikan ketua SPRM,” katanya dengan menambah pelantikan itu tidak diterima baik penjawat awam.