
Katanya, tindakan Kementerian Dalam Negeri menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan penggunaan kalimah itu tidak membabitkan perubahan peringkat dasar.
Anwar berkata, sejak sekian lama pentadbiran kerajaan bersilih ganti antara parti, keputusan mahkamah itu tetap diguna pakai sehingga sekarang.
“Tak apalah tak setuju (penarikan rayuan), tetapi itu (penggunaan kalimah Allah) keputusan yang lama dan dipakai oleh kerajaan terdahulu pun, dari Barisan Nasional ke Perikatan Nasional, daripada Umno ke PAS dan Bersatu, sampailah sekarang, itulah dasarnya.
“Dasarnya iaitu tidak boleh dibenarkan istilah Allah digunakan oleh bukan Islam termasuk dalam kitab mereka.
“Jadi perkataan Allah untuk umat Islam di Semenanjung Malaysia, begitu juga di Sabah dan Sarawak dengan beberapa syarat, tiada perubahan dengan yang sebelum ini.
“Itu yang kita gegarkan, jadi nak riuh rendah mengenainya pasal apa? Apa yang tak kena? Ohhh… Anwar memang liberal, tunduk kepada DAP dan sekarang memang betul lah nak merosakkan akidah umat Islam. Apa benda ini?” katanya menurut Harian Metro.
Anwar berkata, keputusan Jemaah Menteri mempersembah cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja, bertujuan memperkemas beberapa perkara dasar yang difikirkan “longgar”.
Katanya, ia terutama mengenai kelompongan kerana adanya perkara yang tidak jelas dari sudut tindakan dan penguatkuasaan.
“Dasar tak berubah kerana di Perak, di Pulau Pinang, di Selangor, di Johor tidak boleh yang bukan Islam menggunakan Allah. Ini keputusan mufti-mufti, keputusan Raja-Raja Melayu. Tak ada perubahan,” katanya.