
Katanya, dalam usaha mengaut keuntungan politik, janganlah sampai membelakangkan fakta berhubung isu itu.
“Mahkamah tidak pernah kemukakan soal agama. Ia aspek pelanggaran terhadap percanggahan keputusan Jemaah Menteri dengan arahan pentadbiran,” katanya ditemui dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Persaraan Jabatan Pendaftaran Negara di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pembangkang cuba memainkan isu kalimah “Allah” untuk menyerang kerajaan menjelang PRN tidak lama lagi.
Isnin lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, setelah Mahkamah Tinggi pada 2021 membenarkan bahan penerbitan agama Kristian di Sarawak menggunakan kalimah “Allah” secara bersyarat bagi tujuan pembelajaran agama, selepas mendapati terdapat percanggahan antara arahan KDN dan keputusan Jemaah Menteri.
Notis pemberhentian rayuan itu yang difailkan pada 18 April, menyatakan perayu tidak berniat meneruskan rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.
Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Jill Ireland, wanita beragama Kristian dari suku Melanau di Sarawak.
Sementara itu, berhubung cadangan penggunaan kalimah “Allah” yang akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja, Saifuddin berkata perkara itu akan ditentukan Jemaah Menteri.
Katanya, Jemaah Menteri akan memutuskan sama ada KDN atau kementerian lain akan diberi tanggungjawab merangka cadangan itu.
“Kalau dari segi akta punca kuasa itu, akta penerbitan dan mesin cetak bawah kawal selia KDN. Tetapi (perkara ini) Jemaah Menteri akan putuskan,” katanya.
Saifuddin juga memaklumkan, cadangan akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja itu bertujuan menjadi penyelesaian komprehensif pada masa akan datang.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengemukakan cadangan berhubung penggunaan kalimah “Allah” kepada Majlis Raja-Raja.
Anwar dalam kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jemaah Menteri.