Tuaran zon merah kerana pemantauan Covid-19 ikut ‘kriteria lama’, kata menteri

Tuaran zon merah kerana pemantauan Covid-19 ikut ‘kriteria lama’, kata menteri

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pemantauan Covid-19 di Tuaran mengikut kriteria lama kerana pihak berkuasa tidak lagi menggunakan kod warna.

Kes Covid-19 di Sabah secara keseluruhan antara yang rendah, iaitu kurang daripada 100 kes setiap minggu, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
SERDANG:
Orang ramai tidak perlu panik dengan pengkategorian Tuaran sebagai ‘zon merah’ Covid-19 kerana pemantauan wabak di daerah Sabah itu mengikut kriteria lama, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata kes Covid-19 di Sabah secara keseluruhan antara yang rendah, iaitu kurang daripada 100 kes setiap minggu.

“Cumanya di Tuaran itu mereka lakukan pemantauan mengikut kriteria yang lama kerana kita sudah tidak guna kod warna,” katanya pada sidang media selepas majlis Aidilfitri Kementerian Kesihatan (KKM) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Tuaran dikategorikan zon merah selepas jumlah kes positif Covid-19 dilaporkan melebihi 40 kes. Timbalan Ketua Menteri Sabah, Joachim Gunsalam, berkata 26 kes baharu dilaporkan sepanjang minggu, berbanding 18 kes pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, Zaliha melaporkan kes Covid-19 masih terkawal, dan walaupun ada peningkatan pada musim perayaan Aidilftiri, kebanyakannya kategori 1 dan 2.

“Keterukan sangat rendah. Mereka boleh lakukan isolasi di rumah sahaja,” kata Zaliha, yang menambah kebanyakan kes melibatkan pesakit berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai komorbid seperti kencing manis.

Kes strok haba sederhana

Mengulas perkembangan lain, Zaliha berkata jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat strok haba adalah “sederhana”.

Katanya, kementerian memantau kes strok haba setiap hari dan siap siaga memastikan hospital sedia menerima pesakit.

“Kita lebih ‘alert’ dengan suasana sekarang,” katanya, dan menasihatkan mana-mana orang yang mengalami gejala teruk seperti kekejangan, keletihan, dan dehidrasi supaya mendapatkan rawatan di hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.