Langkawi ‘bersih’ sebelum LIMA, polis lancar operasi banteras dadah

Langkawi ‘bersih’ sebelum LIMA, polis lancar operasi banteras dadah

Dalam dua operasi berasingan seramai 59 lelaki dan dua wanita ditahan disyaki terlibat aktiviti salah guna dadah.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad berkata usaha pencegahan aktiviti penyalahgunaan dadah di Langkawi akan diteruskan bagi memastikan kelancaran LIMA’23. (Gambar Reuters)
ALOR SETAR:
Seramai 61 individu disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah ditahan dalam dua operasi khas oleh polis bagi memastikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) berjalan lancar dan selamat.

Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 59 lelaki dan dua wanita, semuanya berusia antara 24 hingga 56 tahun.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kedah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Langkawi menjalankan dua Ops Tapis Khas Langkawi – LIMA’23 pada 6 dan 7 Mei serta 14 Mei hingga semalam, dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah di Langkawi.

“Dalam dua siri operasi itu, jumlah kes dicatatkan adalah sebanyak 45 kes dengan 61 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan. Kesalahan terbanyak melibatkan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu 17 kes,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua individu itu ditempatkan di lokap Balai Polis Kuah untuk tindakan lanjut.

Menurut Wan Hassan, polis memandang serius isu berkaitan keselamatan semasa LIMA’23 kerana ia acara antarabangsa dan menegaskan usaha pencegahan aktiviti penyalahgunaan dadah akan diteruskan bagi memastikan kelancaran acara berkenaan.

“Operasi lain juga akan terus dijalankan sepanjang tahun ini dalam usaha membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Masyarakat diminta untuk terus bekerjasama dan menyalurkan maklumat agar tindakan dapat diambil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.