Lelaki ditahan, kayu balak lebih RM4 juta disita

Lelaki ditahan, kayu balak lebih RM4 juta disita

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta Perak Balveer Singh Mahindar Singh berkata kayu siap diproses itu dipercayai dihantar ke sekitar Pulau Pinang untuk penghasilan produk seterusnya.

kayu balak lebih RM4 juta disita
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta Perak Balveer Singh Mahindar Singh berkata premis itu menjalankan aktiviti memproses kayu balak tanpa kelulusan daripada Jabatan Perhutanan negeri sejak setahun lepas. (Gambar PGA)
ALOR SETAR:
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas kayu balak serta pelbagai peralatan bernilai lebih RM4 juta di sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan kayu balak tanpa kelulusan di Jeniang, dekat sini, Selasa lalu.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta Perak, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata operasi pada 10 pagi itu hasil risikan dan kerjasama Jabatan Perhutanan Kedah, Majlis Perbandaran Sik, Lembaga Hasil Dalam Negeri Kedah serta IPD Sik.

“Lelaki berusia 50 tahun yang ditahan itu dipercayai pemilik premis tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti memproses kayu balak tanpa kelulusan daripada Jabatan Perhutanan negeri sejak setahun lepas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati kayu siap diproses di premis itu dipercayai dihantar ke sekitar Pulau Pinang untuk penghasilan produk seterusnya.

Dalam serbuan itu, katanya, pasukan penguat kuasa turut menemui pelbagai jentera, mesin dan longgokan kayu balak yang belum dan telah siap diproses dianggarkan bernilai RM4,338,545.

Menurutnya, kes itu diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Kedah untuk siasatan mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 (Negeri Kedah) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27 enakmen sama.

Beliau turut mengingatkan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak menjalankan aktiviti pemprosesan dan penyimpanan kayu balak tanpa kelulusan kerana ia boleh mendatangkan kesan serius kepada alam sekitar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.