Buat tuntutan palsu Penjana Kerjaya, 47 pengarah syarikat ditahan

Buat tuntutan palsu Penjana Kerjaya, 47 pengarah syarikat ditahan

Menurut sumber, ia membabitkan jumlah tuntutan antara RM450,000 hingga RM2 juta.

SPRM menahan 14 wanita dan 33 lelaki berusia 30 hingga 70 tahun di seluruh negara sejak petang semalam.
PETALING JAYA:
Seramai 47 pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan palsu berkait program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (Penjana Kerjaya).

Empat belas wanita dan 33 lelaki berusia 30 hingga 70 tahun itu ditahan menerusi Ops Hire 2.0 di seluruh negara sejak petang semalam kerana mengemukakan tuntutan kepada Perkeso, kononnya mengendalikan program Penjana Kerjaya, namun tidak berbuat demikian.

Menurut sumber, ia membabitkan jumlah tuntutan antara RM450,000 hingga RM2 juta.

Semua 47 individu itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di seluruh negara hari ini untuk permohonan reman.

Dalam Op Hire 1.0 tahun lalu, 74 individu daripada 60 syarikat ditahan membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM88 juta, dengan 52 daripadanya didakwa di mahkamah.

Ahmad Khusairi Yahaya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya yang mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Katanya, SPRM mengambil tindakan tegas bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan, dengan ratusan syarikat lain dikenal pasti turut membuat tuntutan palsu.

“Kita telah kenal pasti nama dan senarai pemilik syarikat terlibat. Saya beri amaran kepada semua untuk tampil segera sebelum SPRM mengetuk pintu pejabat syarikat terlibat.

“Saya beri jaminan sesiapa yang terlibat untuk tampil secara sukarela dan menyerahkan semula tuntutan yang dibuat tidak akan dituduh di mahkamah.

“Bagi yang masih berdegil, mereka akan dikenakan tindakan lebih serius,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.