
Ketua polis negeri, Khaw Kok Chin, berkata penahanan mereka dibuat dalam beberapa serbuan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, pada Sabtu dan Ahad lalu.
“Saya boleh mengesahkan bahawa ada tangkapan judi ekor haram dibuat membabitkan tujuh anggota polis dan lima orang awam.
“Tetapi saya tidak boleh ulas lanjut kerana siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya menurut Berita Harian.
Menurut laporan itu, antara ditahan melibatkan pegawai polis berpangkat asisten superintendan. Mereka ditahan berusia 27 hingga 48 tahun.
Lima lagi ditahan adalah orang awam berusia 30 hingga 55 tahun dengan polis turut merampas peralatan digunakan bagi kegiatan itu serta wang tunai dipercayai hasil aktiviti berkenaan.
Dalam perkembangan berasingan, Khaw berkata, 12 lagi individu ditahan di sebuah pondok tidak bernombor di Butterworth, di sini, Ahad lalu kerana disyaki terbabit kegiatan pertaruhan judi lumba kuda.
Serbuan 3.55 petang itu dilakukan Cawangan Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menerusi Op Dadu.
Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 50 hingga 80 tahun dan peralatan disyaki digunakan bagi kegiatan itu turut dirampas.
“Semua yang direman di IPD Seberang Perai Utara selama dua hari berakhir hari ini mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(3) akta yang sama,” katanya.