8 warga asing ditahan bawa 10kg ganja

8 warga asing ditahan bawa 10kg ganja

Polis menemui ganja seberat 10kg dalam kenderaan mereka ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Kuala Nerang.

Ketulan mampat disyaki ganja diisi dalam beg yang ditemui dalam kereta dinaiki lapan warga asing. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Lapan warga asing, termasuk dua wanita ditahan susulan penemuan 10kg ganja dalam sebuah kenderaan di Kuala Nerang, Kedah.

Ketua Polis Padang Terap, Mulkiaman Manzar berkata semua suspek berusia 19 hingga 48 tahun itu ditahan sepasukan anggotanya yang terserempak sebuah kenderaan mencurigakan ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Padang Setul pada 4 pagi Rabu lalu.

“Polis mengekori kenderaan terbabit sehingga berhenti di kebun getah Kampung Padang Setul, Kuala Nerang dan pemeriksaan mendapati terdapat tujuh penumpang lagi, iaitu tiga lelaki Myanmar, dua lelaki Thailand dan dua wanita Myanmar.

“Di dalam kereta ada beg mengandungi ketulan mampat disyaki ganja dan satu guni disyaki ganja,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, empat suspek terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, manakala empat lagi mempunyai pasport tetapi tiada cop rasmi Jabatan Imigresen untuk masuk ke negara ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Imigresen.

“Semua tangkapan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 10 hingga 17 Mei ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.