Warga asing dilarang beli minyak masak peket RM2.50 mulai 1 Mac

Warga asing dilarang beli minyak masak peket RM2.50 mulai 1 Mac

Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata peruntukan undang-undang itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan.

minyak masak peket
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata larangan pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh warga asing boleh dilaksanakan dengan berkesan menggunakan MyKad. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Warga asing dilarang membeli minyak masak peket bersubsidi berharga RM2.50 berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, larangan itu akan dilaksanakan melalui Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, peruntukan undang-undang itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan.

“Sebelum ini, terdapat banyak gesaan melarang pembelian oleh warga asing, namun peruncit membangkitkan aspek praktikal, iaitu mekanisme pelaksanaan larangan, termasuk kaedah pemantauan dan penguatkuasaan.

“Dengan adanya sistem yang hanya membenarkan warganegara membuat pembelian diintegrasikan dengan butiran kad pengenalan, ia akan membolehkan peruncit dan penguat kuasa melaksanakan larangan dengan berkesan,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung keberkesanan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dalam pengagihan minyak masak peket bersubsidi kepada warga emas dan golongan miskin.

Latiff berkata, masalah timbul di luar bandar yang tiada kemudahan internet dan meminta Armizan menyatakan langkah memastikan tiada isi rumah tercicir daripada pelaksanaan aplikasi itu.

Beliau turut mengemukakan soalan tambahan mengenai sama ada kerajaan bercadang mengintegrasikan eCOSS dengan aplikasi lain yang berkaitan.

Armizan berkata, penggunaan MyKad baharu yang akan dilengkapi sistem kod QR bermula 1 Jun ini akan menjadi salah satu pilihan dalam proses pembelian minyak masak peket bersubsidi menerusi eCOSS, mengekang pembelian oleh warga asing.

“Aplikasi eCOSS menggunakan kod QR. Dengan hanya mengimbas kad pengenalan yang mempunyai kod itu, membolehkan pembelian minyak masak paket dimanfaatkan masyarakat kita,” katanya, lapor Sinar Harian.

Pada 9 Jan 2024, Armizan dilaporkan berkata, tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi, tetapi mereka tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Tetapi, beliau berkata, pihaknya menerima cadangan berhubung larangan itu.

Dalam pada itu, Armizan berkata, kerajaan mengambil maklum berhubung kebimbangan pelaksanaan aplikasi eCOSS memberi kesan kepada warga emas dan golongan miskin serta penduduk luar bandar yang tiada akses kemudahan internet.

Atas sebab itu, katanya, KPDN telah memperluas penggunaan aplikasi Mobile eCOSS secara berperingkat yang mula dilaksanakan di Putrajaya Mei lalu.

Katanya, ia turut disusuli premis Program Jualan Rahmah Madani serta Johor atas kerjasama kerajaan negeri dan premis terpilih di negeri lain.

“Pada peringkat rintis ini, pembelian melalui kaedah manual masih dibenarkan dan perekodan transaksi secara manual.

“Pembelian secara manual atau kaedah bersesuaian akan dikenal pasti secara bersasar di premis peruncitan terpilih yang belum mempunyai capaian kemudahan internet.”

Jelasnya, bantuan dan sokongan di premis jualan akan diberikan peruncit, dengan modul khas bagi warga emas atau golongan miskin yang tiada akses internet dalam telefon mudah alih mereka.

Katanya, sistem eCOSS juga akan diintegrasikan dengan platform MyKasih untuk membolehkan pilihan tambahan pembelian menggunakan kad pengenalan seperti program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“KPDN sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk merealisasikan hasrat ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.