
“Kita tidak izinkan kontrak diberikan begitu rupa tanpa tender, ini ada kontrak satu komisen RM50 juta ringgit, ini melampau.
“Kita tumpu bagi sumbangan kepada orang miskin kerana kita tidak izin pemimpin ambil dana rakyat,” katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Selangor di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak.
Beliau berkata, hasil tatakelola bersih kerajaan berjaya menarik pelaburan China sebanyak RM170 bilion, selain peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini 5.6%.
“Ini kerja berpasukan. Kita mencatat pelaburan daripada Amazon bernilai berpuluh bilion. Geely pula sebanyak RM10 bilion di Tanjung Malim, (nilai pelaburan) RM170 bilion oleh China datang memberi pelaburan dan pekerjaan di negara kita.
“Sebab apa? Mereka percaya kita tidak sakau, tidak curi duit komisen dan kita tahu kerja menjaga kepentingan rakyat.” katanya.
Sementara itu, berhubung kutipan cukai, beliau mengingatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kekal bersih tanpa campur tangan mana-mana pihak dalam tatakelolanya yang boleh menjejaskan reputasi.
Anwar juga berpuas hati dengan peningkatan kutipan cukai LHDN, sekali gus membuktikan tiada mana-mana pihak boleh terlepas daripada membayar cukai.
“Cukai juga bertambah. Dari mana bertambah? Orang yang dulu curi-curi tak bayar cukai, semua sekarang bayar cukai. Yang orang bawah bayar cukai, orang kaya di atas bayar buku akaun tiga empat, dia lari daripada cukai.
“Alhamdulillah, sekarang dia tahu tak boleh sogok pemimpin, maka LHDN harus bersih betul-betul dan hasil yang kita peroleh itu meningkat,” katanya