Sensor baraj rosak punca air Sungai Muda alir ke laut, kata Sanusi

Sensor baraj rosak punca air Sungai Muda alir ke laut, kata Sanusi

Justeru, Sungai Muda mengalami penurunan mendadak paras air sehingga menjejaskan muka sauk LRA Sungai Petani dan Pinang Tunggal.

Kerosakan sensor automatik di baraj Sungai Muda menyebabkan air mengalir ke laut, dalam kuantiti banyak mengakibatkan paras sungai itu susut mendadak. (Gambar Facebook Sanusi Md Nor)
PETALING JAYA:
Kerosakan sensor automatik di baraj Sungai Muda menyebabkan air mengalir ke laut dalam kuantiti banyak sehingga mengakibatkan paras sungai itu susut mendadak.

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor yang mengadakan lawatan ke lokasi itu hari ini, berkata keadaan terbabit juga menjejaskan muka sauk loji rawatan air (LRA) Sungai Petani dan Pinang Tunggal dan menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di wilayah tengah.

“Kerosakan sensor automatik menyebabkan salah satu pintu air ‘terbuka sendiri’ yang membawa kepada pengaliran air dalam kuantiti yang banyak terus ke laut tanpa sekatan.

“Situasi ini menyebabkan paras Sungai Muda susut mendadak dan menjejaskan muka sauk beberapa loji rawatan air (LRA Sg Petani dan Pinang Tunggal) lalu menjejaskan bekalan air ke beberapa kawasan,” katanya di Facebook.

Menteri Besar Sanusi Md Nor melawat baraj Sungai Muda untuk meninjau keadaan semasa gangguan bekalan air di beberapa kawasan di wilayah tengah Kedah. (Gambar Facebook Sanusi Md Nor)

Sanusi berkata, susulan itu Syarikat Air Darul Aman (Sada) telah membuka pusat agihan air iaitu di Caltex Taman U, tapak pasar malam Ambangan Height, surau Taman Orked, Medan Baru Puteri Jaya, Caltex Bedong dan tapak pasar malam Pengkalan Bujang.

Terdahulu, dilaporkan sekitar 251,800 akaun daerah Kuala Muda, Kulim, dan sebahagian Baling terjejas akibat penurunan mendadak paras air Sungai Muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang K Pathmanathan, berkata keadaan itu juga menjejaskan bekalan kepada ribuan pengguna di tiga daerah di Seberang Perai dan selatan Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.