
Polis turut merampas sepucuk pistol semi-automatik jenis Desert Eagle buatan Israel dalam sarung pistol bersama 15 butir peluru dalam beg disandang lelaki berusia 22 tahun itu, dipercayai untuk dijual kepada sindiket penyeludupan migran.
Ketua Polis Padang Besar, Shokri Abdullah berkata, kumpulan Pati itu dikesan kira-kira 8 malam oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Kompeni D Batalion 18 Briged Utara yang sedang melakukan rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di kawasan berhampiran Pos C32 di Chuping.
“Anggota yang menjalankan tugasan terserempak dengan Pati cuba memasuki negara ini di kawasan berbukit dan bersemak-samun.
“Tindakan pantas anggota berjaya menahan 12 Pati terdiri daripada tujuh lelaki, tiga wanita serta dua kanak-kanak perempuan berusia setahun hingga 48 tahun yang dipercayai berasal dari Myanmar.
“Pemeriksaan lanjut terhadap salah seorang suspek menjumpai sepucuk pistol dalam sarung pistol bersama 15 butir peluru,” katanya menurut Harian Metro.
Shokri berkata, pelbagai mata wang berjumlah RM649, yang terdiri daripada mata wang Kyat Myanmar sebanyak 37,350 (RM79), Thailand Baht sebanyak 4,240 (RM420) serta RM150 turut dirampas.
Katanya, siasatan awal mendapati seorang lelaki tidak dikenali, dipercayai ahli sindiket penyeludupan, meminta suspek membawa beg hitam itu yang akan diambil lelaki lain selepas mereka masuk ke Malaysia secara haram.
Beliau berkata, semua suspek didapati masuk melalui Thailand untuk mencari pekerjaan atas arahan seorang lelaki asing tidak dikenali yang mengenakan bayaran RM3,000 setiap seorang.
Menurutnya, semua suspek direman 14 hari mulai semalam dan semakan mendapati mereka tiada rekod kesalahan lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan,” katanya sambil menambah siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.