Warga emas ditemui mati dalam kereta, polis tahan pemastautin tetap

Warga emas ditemui mati dalam kereta, polis tahan pemastautin tetap

Mangsa seorang lelaki berusia 70an ditemukan orang ramai dengan lehernya cedera parah dalam kereta dinaikinya.

Polis berkata polis menahan lelaki berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan kematian warga emas di hadapan Selayang Centre Point.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki beberapa jam selepas mayat warga emas ditemui dengan kesan cedera di leher dalam sebuah kereta di kawasan lapang berhadapan Selayang Centre Point, Jalan Selayang, Batu Caves, Selangor, semalam.

Suspek bertaraf pemastautin tetap, berusia lingkungan 40-an, ditahan pada 4 petang hari kejadian selepas mayat lelaki berusia 70an itu ditemui orang awam tidak sedarkan diri dalam kereta Perodua Kancil.

Ketua Polis Gombak, Zainal Mohamed Mohamed, berkata pihaknya menerima panggilan orang awam pada 10.15 pagi selepas melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

“Siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang lelaki tempatan beralamat di Selayang Baru. Mangsa ditemui di tempat duduk pemandu dalam keadaan cedera.

“Pemeriksaan tubuh badan mangsa menemui kesan kecederaan luka parah di leher dan satu objek tajam turut ditemui di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Suspek direman mulai hari ini hingga 16 Mei bagi membantu siasatan. Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.

Orang ramai melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan, dengan menghubungi pegawai penyiasat Puteri Noor Asiah Mohd Sharif di talian 012-6718024 atau IPD Gombak di talian 03-6126222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.