‘Berani’ mahu tukar MyKad orang lain, buruh Filipina kena setahun penjara

‘Berani’ mahu tukar MyKad orang lain, buruh Filipina kena setahun penjara

Ray Baintong, 45, mengaku membeli sijil kelahiran digunakan dalam MyKad kepunyaan orang lain yang dibeli dengan harga RM3,000.

Tertuduh ditahan di JPN Melaka ketika mahu menukar kad pengenalan baharu selepas petugas agensi itu mendapati nombor MyKad sudah disenarai hitam.
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Ayer Keroh menjatuhi hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang lelaki warga Filipina susulan membuat pengakuan bersalah menggunakan kad pengenalan orang lain selama 15 tahun.

Tertuduh Ray Baintong, 45, mengaku menggunakan kad pengenalan orang lain atas nama Sulaiman Hamran yang beralamat di Paya Rumput, Sungai Udang, pada 11.50 pagi, 27 Jan tahun lalu.

Menurut Berita Harian, tertuduh yang bekerja sebagai buruh itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Majistret Nurul Asyikin Rosli kemudiannya menjatuhi hukuman penjara 12 bulan terhadap tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, Baintong ditahan di Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Melaka ketika mahu menukar kad pengenalan baharu selepas petugas JPN mendapati nombor MyKad sudah disenarai hitam kerana sijil kelahiran adalah kepunyaan orang lain.

Tertuduh yang mengaku membeli sijil kelahiran itu dengan harga RM3,000 ketika di Kota Kinabalu pada 2003, memohon hukuman ringan dengan alasan mahu pulang ke negara asal.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal mahu hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana membeli sijil kelahiran daripada satu sindiket.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.