
Beliau berkata, ini dapat dilihat dalam desakan Putrajaya untuk mewujudkan sistem ombudsman bebas agar rakyat dapat membuat aduan terhadap kementerian dan agensi kerajaan.
“Kita hendak ada kerajaan yang bertanggungjawab. Salah satu elemen akauntabiliti adalah anda mesti membenarkan aduan (dibuat),” katanya pada sidang media.
“Masalahnya, kerajaan hari ini bukan sentiasa betul dan rakyat mungkin tidak berpuas hati dengan keputusan, proses atau salah tadbir tertentu.”
Azalina berkata, kementeriannya sedang “menghalusi” dasar bagi Rang Undang-undang (RUU) Ombudsman dan terlibat urus dengan agensi berkaitan, NGO dan masyarakat sivil, dan selepas itu, RUU itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri.
Beliau menyasarkan untuk membentangkan RUU itu di Parlimen pada Oktober.
Antara dasar yang terkandung dalam RUU itu adalah memastikan sistem ombudsman bebas, dan anggotanya tidak dibenarkan berada dalam badan itu melebihi enam tahun.
Azalina berkata, ombudsman bukan agensi penguatkuasaan, tetapi sebagai saluran untuk orang ramai membuat aduan berkaitan penyelewengan dan tadbir urus.
Beliau juga berkata, ombudsman mesti mengeluarkan laporan tahunan yang akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.
Pada Mei 2022, Pusat Memerangi Rasuah & Kronisme (C4) meminta kerajaan menjelaskan kelewatan dalam membentangkan RUU Ombudsman.
C4 menegaskan bahawa penubuhan ombudsman penting dalam usaha membanteras rasuah dan kronisme dalam sistem, dan membolehkan aduan awam terhadap kerajaan disiasat dengan secukupnya.
Menurutnya, Abu Kassim Mohamed, bekas ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional, menyatakan pada 2019 bahawa ombudsman akan mula berkuat kuasa pada 2020 jika RUU itu dibentangkan pada Disember 2019.
Bagaimanapun, dengan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020, rancangan itu tertangguh dan keadaan diburukkan lagi oleh ketidakstabilan politik.