Turap jalan rosak besar-besaran di Selangor mula 2 minggu lagi

Turap jalan rosak besar-besaran di Selangor mula 2 minggu lagi

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Izham Hashim berkata projek itu akan menumpukan jalan yang agak teruk dan tidak mendapat perhatian.

Projek penurapan jalan besar-besaran di Selangor itu membabitkan kos RM50 juta disertai lebih 20 kontraktor dan dijangka mengambil masa dua bulan untuk disiapkan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Projek menurap jalan raya yang rosak di seluruh Selangor akan dimulakan secara serentak dua minggu lagi, kata Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Izham Hashim.

Izham berkata, projek penurapan besar-besaran membabitkan kos RM50 juta disertai lebih 20 kontraktor dan dijangka mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

Katanya, projek itu akan menumpukan jalan-jalan yang agak teruk dan tidak mendapat perhatian.

“Kita juga akan utamakan jalan yang dicadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT), majlis daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) ,” katanya menurut Selangor Kini.

Beliau berkata demikian dalam majlis sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Pandan Indah di Kampung Pandan Dalam di Shah Alam.

Pada Jan lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, mengumumkan projek penurapan jalan secara besar-besaran meliputi penyenggaraan dan pelebaran jalan bawah kelolaan negeri.

Beliau juga menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak menerusi aplikasi Twitter dengan menghantar gambar, menulis aduan dan disertakan dengan tanda pagar #infrasel #daerah #namajalan.

Semua jalan berlubang itu dibaiki dalam tempoh 24 jam berdasarkan aduan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.