Imigresen guna formula baharu tukar syif atasi kesesakan di pintu masuk

Imigresen guna formula baharu tukar syif atasi kesesakan di pintu masuk

Ketua pengarah imigresen berkata pertukaran syif pada 7 pagi mampu merencatkan operasi kaunter di pintu masuk sekali gus menyebabkan kesesakan.

Ruslin Jusoh berkata waktu puncak di Tambak Johor dan Gelang Patah bermula 5 hingga 8 pagi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen (JIM) akan menggunakan formula baharu pertukaran syif bagi memastikan semua kaunternya di pintu keluar masuk di Tambak Johor dan Gelang Patah dibuka pada waktu puncak.

Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh, berkata pelaksanaan formula baharu itu amat penting dalam memastikan tiada kesesakan pada waktu puncak kerana tiada kakitangan di kaunter akibat pertukaran syif pekerja.

“Isu berbangkit di dua pintu masuk laluan darat membabitkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah, adalah isu pertukaran syif kakitangan imigresen pada 7 pagi.

“Ia dibangkitkan Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi menerusi beberapa tinjauan bersama JIM,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, waktu puncak di dua pintu masuk laluan darat itu bermula 5 hingga 8 pagi dan pertukaran syif pada 7 pagi mampu merencatkan operasi kaunter, sekali gus menyebabkan kesesakan.

“Oleh itu, JIM sedang meneliti formula baharu pertukaran syif 7 pagi ini, termasuk memperkenalkan formula baharu syif ditukar di luar waktu puncak. Insya Allah, formula baharu ini akan diumumkan minggu depan.”

Dalam perkembangan lain, Ruslin berkata, CIQ BSI kekurangan hampir 300 kakitangan bagi membolehkan JIM melaksanakan pembukaan semua 284 kaunter secara maksimum pada waktu puncak.

Ketika ini, katanya, CIQ BSI mempunyai 1,074 kakitangan imigresen berbanding 1,347 orang yang diperlukan.

Beliau berkata, JIM akan menempatkan 100 lagi kakitangan baharu di CIQ BSI akhir bulan ini, selepas 231 rekrut tamat latihan pada 20 Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.