
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata tangkapan hasil risikan sebulan yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Thailand dipercayai ejen dikenali sebagai ‘Toyu’, selain seorang lagi lelaki tempatan bertindak sebagai transporter.
Katanya, turut ditahan dalam operasi di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam itu, lima lelaki warga India, seorang lelaki Pakistan serta seorang pegawai kanan JIM yang dipercayai bertindak sebagai pemudah cara di pintu masuk negara.
Katanya, semakan awal mendapati seorang warga India yang ditahan disenaraihitamkan, manakala warga Pakistan itu dipercayai menggunakan e-visa palsu dan semua warga asing lain dipercayai imigran larangan.
“JIM turut merampas beberapa pasport, dokumen perjalanan, cap keselamatan imigresen, 12 telefon bimbit, wang tunai berjumlah 30,000 Rupee India serta beberapa kenderaan termasuk sebuah kereta Nissan Sentra dan dua motosikal.
“Sindiket itu dipercayai membawa masuk warga asing terbabit dari Thailand ke Malaysia melalui laluan darat dengan bayaran RM1,000 seorang, manakala pemudah cara menerima RM400 bagi setiap pasport yang dilepaskan,” katanya dalam kenyataan.
JIM percaya sindiket itu beroperasi sejak awal tahun ini dan menyebabkan ketirisan hasil negara kira-kira RM4.1 juta.
Kes disiasat bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.