
Dalam serbuan di sebuah pangsapuri mewah di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, lapan warga asing terdiri daripada dua lelaki berusia 35 hingga 38 tahun, seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun dan lima wanita warga Thailand berusia 33 hingga 38 tahun ditahan.
Pengarah Imigresen Johor, Rusdi Mohd Darus, berkata kejayaan ‘Ops Serkap’ pada 29 April lalu itu hasil risikan selama seminggu oleh pihaknya susulan maklumat orang awam berhubung aktiviti mencurigakan di premis terbabit.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini mampu meraih keuntungan lumayan mencecah RM900,000 sebulan. Mereka menjadikan kediaman terbabit sebagai pusat panggilan sejak tiga bulan lepas dan menyasarkan pemain dari Thailand serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Modus operandi sindiket melibatkan pemain menghubungi operator melalui telefon bimbit bagi urusan transaksi wang ke akaun bank negara berkenaan, manakala operator di premis ini bertanggungjawab memasukkan mata ke dalam setiap ID pemain,” katanya dalam sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini.
Menurutnya, wang tunai RM2,500, tujuh unit komputer, 34 telefon pintar serta sebuah mesin pencetak turut disita.
Beliau berkata, suspek lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai dalang utama sindiket terbabit, manakala suspek lain berperanan sebagai operator menguruskan transaksi dan pertaruhan.
Semua suspek ditahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan kes masih dalam proses siasatan serta tindakan lanjut pendakwaan.