
Ketua Polis Seberang Perai Selatan Lee Chong Chern berkata, beliau membuat laporan polis terhadap David Marshel, yang juga ahli DAP, berhubung dakwaan tidak berasas dibuatnya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam hantaran di Facebook semalam, Marshel mendakwa Lee enggan dan sengaja melambatkan proses kelulusan permit untuk perarakan pedati bagi upacara keagamaan Hindu di daerah Seberang Perai Selatan, dijadualkan pada 2 Jun.
Menurut Marshel dalam hantaran itu, tindakan pegawai kanan polis itu cuba menggagalkan kerajaan perpaduan dengan menuai kebencian terhadap kerajaan dalam kalangan penganut Hindu di kawasan berkenaan.
Lee memberitahu FMT, beliau telah mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa kuil semalam dan permohonan tersebut diluluskan dengan sekatan dan syarat tertentu.
“Jawatankuasa kuil diberitahu bahawa mereka mesti bertanggungjawab atas (acara) sembahnyang dan perarakan. Mereka bersetuju dan berkata mereka akan mematuhinya,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan sudah dibuka, dan ia disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Kes itu juga akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sementara itu, Marshel berkata, beliau bersedia untuk disiasat dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Dalam satu kenyataan, beliau juga berkata, beliau akan membuat laporan terhadap Lee, dan berharap polis akan bertindak sewajarnya.