Amah lecur hampir seluruh badan disyaki didera majikan

Amah lecur hampir seluruh badan disyaki didera majikan

Mangsa mendakwa sering dipukul, ditampar dan pernah dicederakan dengan seterika oleh majikan.

Mangsa berumur 39 tahun bekerja sebagai pembantu rumah hampir setahun enam bulan menyatakan sering dipukul, ditampar dan pernah dicederakan majikannya di bahagian tangan dengan seterika.
PETALING JAYA:
Seorang pembantu rumah wanita warga asing melecur hampir seluruh badan dan lebam di mata serta muka disyaki didera majikan di sebuah rumah di Jalan Hujan Emas 3, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata pada 23 April lalu pihaknya menerima laporan seorang lelaki warga tempatan yang mengesyaki jirannya mendera mangsa.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa berumur 39 tahun bekerja sebagai pembantu rumah hampir setahun enam bulan menyatakan sering dipukul, ditampar, dan pernah dicederakan majikannya di bahagian tangan dengan seterika.

“Siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati seorang perempuan warganegara asing berumur 39 tahun mengalami kecederaan serius iaitu melecur hampir seluruh badan dan lebam di kedua-dua belah mata dan muka.

“Barang kes yang dipercayai digunakan oleh suspek mencederakan mangsa turut dirampas untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kertas siasatan berhubung kes itu dirujuk ke ketua unit jenayah am dan ketenteraman awam (Kujaka), Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, semalam.

Sehubungan itu, katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur esok untuk dituduh mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti memperdagangkan manusia hadir ke balai polis berdekatan.

Maklumat kesalahan jenayah lain juga boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03 22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03 21159999 atau balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.