188 penjawat awam ditahan berkait kes dadah, menurut Bukit Aman

188 penjawat awam ditahan berkait kes dadah, menurut Bukit Aman

Empat daripadanya ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB), Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Polis berkata seramai 62,132 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan racun dengan nilai rampasan RM213 juta sehingga bulan lalu. (Gambar Facebook PDRM)
KUALA LUMPUR:
Seramai 188 penjawat awam ditahan polis atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, empat daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Menurut kenyataan itu, penjawat awam berkenaan adalah sebahagian daripada 62,132 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan racun dalam tempoh itu selain rampasan pelbagai dadah, daun serta air ketum bernilai RM213 juta.

“JSJN berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 7,917kg, 1,379l pelbagai jenis cecair dadah, 31,856kg daun ketum dan 21,243l air ketum.

“JSJN turut berjaya menumpaskan 118 sindiket melibatkan 366 tangkapan individu serta membongkar empat makmal dadah. JSJN turut menahan empat ahli kimia serta menyita pelbagai aset milik sindiket bernilai RM32.8 juta manakala RM2.7 juta nilai harta yang telah dilucuthak,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, JSJN memaklumkan seramai 2,669 penagih dadah tegar mempunyai rekod kesalahan dadah berulang dituduh mengikut Seksyen 39C ADB 1952 dengan seramai 1,533 daripadanya disabitkan kesalahan dalam tempoh berkenaan.

JSJN juga memberitahu dalam tempoh berkenaan, sebanyak 25,331 kertas siasatan dibuka dengan 22,753 daripadanya berjaya dituduh di mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.