Covid-19 Arcturus: Persatuan ibu bapa sambut baik pelitup muka di sekolah sebagai langkah sementara

Covid-19 Arcturus: Persatuan ibu bapa sambut baik pelitup muka di sekolah sebagai langkah sementara

Pihak berkuasa harus mengambil kira kemampuan ekonomi dan keselesaan murid, kata pengerusi PIBG SMK Jalan Reko.

Tinjauan FMT menjelang permulaan sesi persekolahan pada 2 Mei ini mendapati rata-rata ibu bapa menyambut baik pemakaian pelitup muka bagi anak-anak mereka di sekolah.
PETALING JAYA:
Persatuan Ibu Bapa dan Guru sebuah sekolah menyambut baik langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka di sekolah, bagi mengekang penularan varian terbaru virus Covid-19, Arcturus.

Pengerusi PIBG SMK Jalan Reko Muhamad Nasron Muhamad Nasir berkata, langkah pencegahan harus diambil namun pemakaian pelitup muka harus bersifat sementara kerana mengambil kira kemampuan ekonomi keluarga dan keselesaan murid.

Nasron berkata, pihak berkuasa harus mengambil kira kesuntukan wang menyebabkan sesetengah keluarga terpaksa mengulang pakai pelitup muka yang sama untuk beberapa hari, dikhuatiri akan mengundang risiko jangkitan.

Muhamad Nasron Muhamad Nasir.

“Jika untuk tempoh masa yang panjang, tidak digalakkan atas faktor limitasi terhadap pergerakan dan keselesaan anak-anak, serta kemampuan ekonomi keluarga untuk sentiasa menyediakan pelitup muka anak-anak setiap hari,” katanya kepada FMT.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa baru-baru ini mengumumkan beliau akan bertemu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk membincangkan cadangan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tengah-tengah ancaman varian terbaru Covid-19 itu.

Dilaporkan sebanyak 12 kes varian baharu itu dilaporkan setakat 25 April lepas, melibatkan enam kes di Sarawak, empat di Selangor, dan dua di Kuala Lumpur.

Tinjauan FMT menjelang pembukaan sekolah pada 2 Mei ini mendapati ibu bapa menyambut baik pemakaian pelitup muka.

Nik Nur Amira Salehuddin.

“Pihak sekolah juga perlu beri kelonggaran kepada anak-anak untuk buka pelitup muka jika lemas atau tidak selesa,” kata seorang ibu, Nik Nur Amira Salehuddin, 35.

Nurul Ain Mohamad, 31, pula berpandangan kesihatan anak-anak lebih utama berbanding keselesaan.

“Ibu bapa tidak perlu ikut keselesaan anak-anak untuk tidak memakai pelitup muka sebaliknya menjelaskan kepada mereka kepentingan memakainya,” katanya.

Ainur Hidayah Hassim.

Ainur Hidayah Hassim, 38, sedar anaknya yang berada di Tahun 1 tidak selesa memakai pelitup muka, namun ia sudah jadi sebahagian kegiatan luar rumah keluarganya.

“Ke mana-mana kami pergi memang masih pakai pelitup muka,” katanya, sambil menyarankan sekolah menetapkan masa membolehkan murid-murid membuka pelitup muka.

“Mungkin boleh buka pelitup muka tetapi atas pemantauan guru-guru. Buka tu mungkin boleh berselang-seli,” katanya.

Seorang lagi ibu, Ainur Fitrah Hassim, 31, berkata pemakaian pelitup muka diharuskan bagi pelajar yang mengalami batuk-batuk atau selesema ringan, dan tidak perlu hadir ke sekolah jika teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.