
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kedua-dua suspek ditangkap pada 20 April oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika memasuki negara ini melalui penerbangan Taiwan.
Mereka kemudian diserahkan kepada polis Taiwan petang semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dibawa pulang ke negara asal, tambahnya.
“Kedua-dua suspek merupakan orang yang dikehendaki oleh pihak polis Taiwan kerana disyaki terlibat dengan kes tembakan di Taiwan dan dipercayai merupakan ahli kongsi gelap serta anggota sindiket ‘scammer’.
“Mereka ditangkap susulan waran tangkap oleh pihak berkuasa Taiwan dan pembatalan pasport oleh kerajaan Taiwan,” kata Acryl dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tangkapan kedua-dua suspek itu dibuat bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Tangkapan yang dilakukan itu merupakan hasil kerjasama antara polis dengan pihak berkuasa Taiwan dan kolaborasi itu akan diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian jenayah berkait dengan kedua-dua suspek di Malaysia,” katanya.