
Kepulangan mereka disambut dengan pelukan dan ciuman ahli keluarga tercinta yang tidak sabar menanti ketibaan mereka pada 2.55 petang.
Menteri Luar Zambry Abd Kadir mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mengambil langkah dalam memastikan kejayaan misi menyelamat ini, termasuk menghubungi pemimpin Sudan yang terlibat dalam konflik itu.
Beliau turut meluahkan penghargaannya kepada pasukan penyelamat bertungkus-lumus dalam usaha menyelamat, serta orang ramai sentiasa mendoakan keselamatan rakyat Malaysia.
“Tiada individu cedera. Alhamdulillah, Ops Sudan sudah selesai tapi kita akan terus mengikuti perkembangan di sana,” katanya dalam sidang media di KLIA.
Zambry berkata, misi menyelamat itu berdasarkan jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kerajaan untuk proses dibawa pulang.
“Sekiranya ada rakyat Malaysia yang belum mendaftar, kita harap dari semasa ke semasa mereka akan menghubungi kita bagi usaha seterusnya,” katanya.
Semalam, rakyat Malaysia itu bersama 22 warga asing tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal, Jeddah Arab Saudi.
Malaysia turut membantu warga Kemboja, Palestin, Filipina, Singapura, Sudan, Thailand dan Amerika Syarikat meninggalkan Sudan dengan selamat di bawah pengawasan rapi dan usaha operasi pemindahan.
Zambry berkata, Kompleks Petronas di Sudan diambil alih secara paksa oleh pasukan separa tentera dan dijadikan pusat pemerhatian mereka.
Keganasan meletus di Khartoum dan di seluruh Sudan sejak 15 April lalu apabila berlaku pertempuran antara Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Pertempuran itu meragut lebih 460 nyawa, mencederakan ribuan orang dan menyebabkan pergolakan lebih meluas di negara Timur Laut Afrika itu.