Mengapa tak siasat ‘kegagalan’ kawalan penerbangan nahas Double Six, soal anak mangsa

Mengapa tak siasat ‘kegagalan’ kawalan penerbangan nahas Double Six, soal anak mangsa

Donald Peter Mojuntin mempersoalkan mengapa laporan pengeluar Australia itu tidak dimasukkan dalam siasatan Malaysia berhubung nahas 1976.

Nahas pesawat 1976 meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu, Fuad Stephens, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Peter Mojuntin serta sembilan mangsa lain. (Gambar arkib Biro Siasatan Kemalangan Udara)
PETALING JAYA:
Anak seorang mangsa nahas pesawat 1976 di Sabah mempersoalkan pihak berkuasa mengapa tidak meneliti “kegagalan sistem kawalan penerbangan” seperti didedahkan dalam laporan pengeluar pesawat Australia itu yang baru dinyahklasifikasikan.

Donald Peter Mojuntin merujuk laporan Government Aircraft Factories (GAF) Australia yang dikeluarkan Rabu lalu mendedahkan “kegagalan pada sistem kawalan penerbangan ketika pemeriksaan serpihan, pengiraan muatan, pertimbangan operasi dan pengendalian”.

“Apa maksudnya dan apa yang menyebabkan ‘kegagalan’ ini? Mengapa ini tidak disebut dalam laporan siasatan Malaysia?

“Mengapa fakta penting ini tidak disiasat lebih lanjut oleh pihak berkuasa Malaysia?” katanya kepada FMT.

Nahas yang lebih dikenali sebagai “tragedi Double Six” itu mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Fuad Stephens dan 10 yang lain, termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Peter Mojuntin selepas pesawat dinaiki mereka terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

Susulan itu, pengeluar pesawat GAF Nomad dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan nahas itu bukan disebabkan masalah mekanikal.

Menurut laporan itu, pasukan siasatan, GAF dan jabatan terbabit menyiapkan laporan awal untuk menteri persekutuan bertanggungjawab membentangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Tetapi, susulan mesyuarat itu, menteri enggan mengeluarkan kenyataan media, namun bersetuju GAF boleh menasihati pelanggan dan pengendalinya bahawa hasil siasatan itu, integriti struktur pesawatnya terjamin.

Kakitangan Australia juga tidak diberi kuasa mendedahkan sebarang penemuan lembaga siasatan.

Donald yang juga bekas Ahli Parlimen Penampang berkata, keputusan tidak mendedahkan penemuan laporan awal itu merupakan satu lagi “masalah”.

“Mengapa tidak (dedahkan kepada umum)? Sekali lagi, lebih banyak soalan daripada jawapan. Sejujurnya, ketika ini, saya merasakan ketidakadilan besar berlaku,” kata timbalan presiden Upko itu.

Sebelum ini, Donald berkata, laporan mengenai nahas pesawat itu yang didedahkan kerajaan baru-baru ini, menimbulkan lebih banyak persoalan kepada waris berbanding jawapan.

Laporan itu tidak menemui bukti sabotaj, kebakaran atau letupan, tetapi menyatakan punca nahas mungkin akibat “kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal, yang menyebabkan kolum kawalan tidak boleh digerakkan ke hadapan ketika mendarat”.

Ia juga menyimpulkan tiada tanda sebarang kecacatan atau kerosakan pada pesawat atau enjinnya sebelum nahas berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.