Rumah terbuka Madani acara kerajaan bukan parti, PKR beritahu Hassan

Rumah terbuka Madani acara kerajaan bukan parti, PKR beritahu Hassan

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, diingatkan bahawa rumah terbuka Madani bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim acara kerajaan.

PETALING JAYA:
Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang akan dianjurkan di enam negeri yang bakal menghadapi PRN tidak lama lagi merupakan acara rasmi kerajaan dan bukannya parti politik, kata Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin, menjawab saranan seorang wakil rakyat parti itu.

Beliau menyifatkan saranan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, supaya kerajaan menggunakan dana parti bagi menganjurkan jamuan itu sebagai “tidak rasional”.

Cadangan Hassan itu di sebalik kritikan pembangkang terhadap rumah terbuka itu yang dianggap sebagai kempen pilihan raya.

“Sebelum ini Hassan sendiri pernah menegur untuk tidak mencampur adukkan urusan rasmi kerajaan dan parti politik. Sebaliknya hari ini beliau meminta parti politik menggunakan dana parti bagi majlis kerajaan.

“Mengapa nada beliau berubah? Adakah kerana isu ini sangat popular?” kata Razeef.

Terdahulu, Hassan dilapor berkata rumah terbuka yang dianjurkan sehingga enam negeri tersebut fenomena baharu yang ditakuti menyalahi kod etika dan undang-undang penggunaan wang awam.

Razeef bagaimanapun berkata rumah terbuka itu acara kerajaan yang terdiri daripada Pakatan Harapan dan beberapa gabungan dan parti politik utama lain.

“Namun mengapa sasaran beliau hanya tertumpu kepada PHDD sedangkan beliau maklum program ini adalah program kerajaan perpaduan?” soalnya.

“Jika ada jentera atau penjawat awam kerajaan terlibat sudah tentu kerana ini program kerajaan. Namun menjadi kesalahan jika program parti politik mengerah jentera kerajaan. Mengapa Hassan sukar memahami perbezaan ini?”

Dalam pada itu, Razeef menyarankan Hassan membuat teguran dan memberi cadangan menerusi “banyak saluran” untuk beliau sebagai seorang wakil rakyat dan pemimpin parti.

“Hassan perlu mencari populariti dengan cara lain seperti membawa isu rakyat terutama di kawasan beliau sendiri,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.