
Menurut Berita Harian, mayat mangsa, Bon Albert, 58, ditemui penduduk kampung di tebing sungai berkenaan pada jam 6 petang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke jeti berhampiran Jambatan Sungai Putai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian pada malam Isnin itu, mangsa bersama tiga rakan menaiki perahu mudik ke hulu Sungai Putai untuk menangkap ikan.
Setibanya di lokasi kejadian kira-kira jam 9 malam, keadaan sungai menjadi berombak berikutan angin kencang serta hujan menyebabkan perahu gagal dikawal lalu terbalik.
Mangsa didapati hilang manakala tiga rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.
Rakannya berusaha mencari mangsa, namun keadaan gelap menyukarkan mereka dan laporan berhubung kejadian itu dibuat di IPD Kapit pada Selasa.
Polis kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kapit jam 3 petang, Selasa lalu seterusnya operasi mencari dan menyelamat diaktifkan.
Bagaimanapun, bomba menghadapi kesukaran untuk ke lokasi yang mengambil masa selama empat jam perjalanan menaiki bot dari Kapit.
Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan perahu penduduk kampung untuk ke lokasi, kerana bot tidak dapat melalui kawasan sungai yang berbatu kerana air surut.
Bomba tiba di lokasi kira-kira 11 pagi semalam dan melancarkan pencarian di permukaan dalam jarak 15 kilometer bersama anggota polis, petugas kesihatan serta penduduk kampung sehinggalah mangsa ditemui pada 6 petang.