
Alvin Tan menggesa pihak berkuasa memeriksa rakaman kamera keselamatan, yang didakwa akan membuktikan bahawa kaunter ditutup awal pada Khamis.
Beliau mendakwa kakitangan mahkamah berkata ada “cut-off time” pada 3 petang dan ada arahan daripada pengurusan mahkamah Kuala Lumpur untuk menutup kaunter pada 4 petang.
Kaunter ditutup meskipun keluarga enam lelaki terbabit dapat mempunyai wang jaminan dan pergi ke kaunter sekitar 2.40 petang, katanya.
“Mereka diberitahu oleh para pegawai mahkamah bahawa kaunter sudah ditutup dan mereka tidak akan memproses sebarang jaminan. Saya cuba berbincang dengan para pegawai tetapi mereka bertegas tidak akan proses sebarang jaminan,” katanya kepada FMT.
“Saya beritahu kakitangan bahawa penjamin sudah berada di situ dan sudah mempunyai wang, yang tinggal cuma dokumentasi di pihak kakitangan. Mereka enggan meneruskannya,” kata Tan.
Tan berkata mereka akan membuat akuan berkanun bagi menyokong dakwaan mereka.
Tan menjawab kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan bahawa penjamin enam lelaki terbabit tiada di mahkamah, bukannya kerana kaunter jamin ditutup.
Ia menjelaskan bahawa waktu biasa penutupan kaunter sepanjang Ramadan adalah pada 4 petang.
Beliau menggesa pendaftar memeriksa rakaman CCTV di kaunter jamin dan melihat sendiri sama ada ia ditutup. Beliau juga meminta komputer mahkamah diperiksa bagi melihat sama ada kakitangan telah log keluar, dan masa jaminan terakhir diproses.
FMT pada Khamis melaporkan enam lelaki yang minta dibicara bagi tuduhan konspirasi jenayah dengan niat untuk menipu terpaksa ditempatkan di Penjara Sungai Buloh selama empat hari, selepas kaunter jamin ditutup awal berbanding kebiasaan, menurut peguam mereka.
Tan mendakwa kakitangan mahkamah menutup kaunter pendaftaran pada 2.53 petang, sedangkan notis dipaparkan waktu pejabat beroperasi sehingga 4.30 petang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata beliau sudah mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang menyiasat dakwaan itu.