Usah letak beban pada keluarga, pakar tolak cadangan penjamin lesen

Usah letak beban pada keluarga, pakar tolak cadangan penjamin lesen

Pakar berkata individu cukup umur dan memenuhi syarat mendapatkan lesen perlu memikul tanggungjawab penuh terhadap kesalahan dilakukan.

Pakar berkata langkah lebih berkesan ialah memperketat penguatkuasaan terhadap pemandu mabuk dan bawah pengaruh dadah selain mempercepatkan pendakwaan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Cadangan mewajibkan penjamin dalam kalangan ahli keluarga ketika permohonan lesen memandu bukan penyelesaian terbaik untuk menangani isu pemandu mabuk, kata pakar kriminologi Shahul Hamid Abdul Rahim.

Katanya, individu cukup umur dan memenuhi syarat mendapatkan lesen perlu memikul tanggungjawab penuh terhadap kesalahan dilakukan tanpa meletakkan beban kepada ibu bapa atau adik-beradik.

Shahul Hamid Abd Rahim
Shahul Hamid Abdul Rahim.

“Kesalahan lalu lintas yang dilakukan, dia kena tanggungjawab sama ada mabuk, mengambil dadah atau memandu secara berbahaya, itu kesalahan bawah akta jalan raya yang boleh diambil tindakan dan dakwa,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan Pengarah Strategi MIC, C Sivaraj, supaya kerajaan mempertimbangkan pendekatan lebih tegas dan berkesan dalam menangani isu pemandu mabuk, termasuk mewajibkan penjamin dalam kalangan ahli keluarga seperti ibu bapa atau adik-beradik semasa permohonan lesen memandu.

Sivaraj berkata, tanggungjawab itu bukan sekadar formaliti tetapi mekanisme akauntabiliti sosial.

Sementara itu, Pakar Kriminologi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Zalmizy Hussin, berkata cadangan tersebut boleh dibincangkan sebagai satu bentuk tekanan moral, namun ia tidak wajar dilihat penyelesaian utama kepada isu pemandu mabuk.

Katanya, fokus kerajaan sepatutnya terus diberikan kepada penguatkuasaan konsisten, hukuman benar-benar menggerunkan serta memastikan keadilan yang jelas kepada mangsa dan keluarga mereka.

Zalmizy Hussin
Zalmizy Hussin.

“Dari sudut dasar awam, idea penjamin keluarga mungkin mempunyai nilai dari segi tekanan moral dan akauntabiliti sosial, seperti dihujahkan Sivaraj.

“Namun, pelaksanaannya perlu diteliti secara mendalam supaya tidak menimbulkan ketidakadilan kepada ahli keluarga yang tidak melakukan kesalahan, atau menjadi syarat birokrasi yang sukar dikuatkuasakan secara praktikal,” katanya.

Menurutnya, undang-undang sedia ada sudah memperuntukkan hukuman berat bagi kes memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, hukuman itu merangkumi penjara, denda tinggi serta hilang kelayakan memegang lesen, manakala cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa juga dilihat sebagai langkah lebih langsung.

“Langkah lebih berkesan ialah memperketat penguatkuasaan terhadap pemandu mabuk dan bawah pengaruh dadah, mempercepat pendakwaan, memastikan pampasan kepada mangsa benar-benar boleh dikuatkuasakan.

“Selain itu, kerajaan perlu meneliti penggunaan teknologi pencegahan dan pemantauan yang boleh menghalang individu tidak waras daripada memandu. Pendekatan ini lebih terus, adil, dan lebih mudah diukur keberkesanannya,” katanya.

Gary Foong
Gary Foong.

Pakar pengangkutan, Gary Foong, pula berpendapat tindakan yang wajar diambil ketika ini adalah melaksanakan penguatkuasaan di premis hiburan dan kawasan tumpuan minuman keras, dengan menahan pesalah sebelum mereka sempat memandu kenderaan.

Katanya, kerajaan juga perlu mengadakan kerjasama bersama platform e-panggilan bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan selamat sentiasa tersedia pada waktu puncak.

“Tingkatkan kehadiran penguatkuasaan yang jelas dan konsisten supaya risiko ditangkap menjadi sesuatu yang nyata, bukan sekadar teori sahaja. Pendekatan ini bukan sukar dilaksanakan.

“Ini bukanlah satu pembaharuan yang kompleks tetapi langkah praktikal, segera, dan berpotensi menyelamatkan nyawa manusia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.