Jadi saksi perjuangan si kecil lawan penyakit, pemergian perit buat jururawat

Jadi saksi perjuangan si kecil lawan penyakit, pemergian perit buat jururawat

Pemergian pesakit turut memberikan kesan emosi dan mental kepada jururawat yang juga merasai kehilangan.

Gambar kenangan jururawat Unit Dialisis Pediatrik, Wad 9C, Hospital Tunku Azizah bersama Zarif Azri. (Gambar Anna Mahiza Md Kassim)
PETALING JAYA:
Menjadi saksi perjuangan si kecil melawan penyakit hingga nafas terakhir, pemergian mereka antara saat yang memeritkan bagi jururawat di Unit Dialisis Pediatrik, Wad 9C, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

Nor Fatin Zarifah Mohamad Khairudin, 36, tidak menyangka kenangan terakhir bersama pesakit kronik buah pinggang Zarif Azri Zakuan, 12, yang meninggal dunia dua tahun lalu dikongsikan ibu arwah, Anna Mahiza Md Kassim, mendapat perhatian warganet.

Meskipun tidak mempunyai ikatan kekeluargaan dengan arwah Zarif Azri, nalurinya tersentuh melihat ketabahan si kecil itu melawan penyakitnya.

“Pesakit bila kita dah lama dengan dia kita akan jadi macam keluarga. Kita boleh gelak ketawa, jadi kita ada ikatan dengan pesakit. Bila dia lalui situasi yang macam itu, kita rasa kasih sayang itu.

“Dia (Zarif) nak balik masa itu, macam terfikir boleh jumpa lagi ke tidak? Kita cuma doakan yang dia boleh bertahan, sedih itu sedih sebab kita tahu pilihan doktor banyak itu sahaja jadi cuma boleh bercakap semoga misi dapat jumpa Zarif lagi,” katanya

Perkara yang sama turut dilalui seorang lagi jururawat, Azlina Abu Bakar, 43, yang berkata pemergian pesakit memberikan kesan emosi dan mental kepada jururawat yang juga merasai kehilangan itu.

“Mula-mula ada beberapa waktu ada teringat sampai bawa balik ke rumah. Kita teringat pesakit itu sebab dia terlalu baik, yang mana yang pernah kita rawat.

“Beri kesan juga, macam kita berhadapan dengan dia, kita rawat dia, bersembang, berbual, sentuh dia, pegang dia bantu dia. Jadi sedikit sebanyak kita rasa kehilangan itu. Setiap kali kita tengok tempat yang dia selalu pergi, jadi kita terbayang-bayang,” ujarnya.

Cabaran sebagai jururawat

Ketua jururawat di wad tersebut, Wan Zuraini Wan Abdullah, 51, pula berkata, meskipun berhadapan kekurangan kakitangan dan waktu kerja yang panjang, ia bukan alasan untuk tidak memberikan khidmat yang terbaik.

Wan Zuraini Wan Abdullah.

Zuraini berkata, jururawat bukan sahaja perlu berdepan dengan emosi pesakit, tetapi dengan ibu bapa juga kerana bukan mudah untuk mereka menerima kenyataan.

“Untuk ibu bapa terima hakikat itu memang susah, tidak semua walaupun ibu bapa itu dari golongan yang berpelajaran tinggi atau pun yang biasa-biasa.

“Bila satu tahap macam itu perasaan jururawat dan doktor memang kita empati dan sama-sama merasai kesedihan itu, tetapi kita masih kuat cuba jalin hubungan dengan ibu bapa, bercakap bagi semangat supaya lebih kuat dan mengatakan pesakit kanak-kanak ini ‘anak syurga’,” katanya.

Terdahulu, perkongsian ibu Zarif di media sosial yang memaparkan perjumpaan terakhir anaknya bersama jururawat sebelum meninggal dunia selepas sembilan hari, meruntun hati warganet.

Menurut Anna, perkongsian tersebut tanda penghargaan kepada semua jururawat yang selama ini memberi komitmen yang terbaik ketika merawat anaknya.

“Terima kasih tidak terhingga dari kami sekeluarga kerana telah memberikan rawatan terbaik kepada Zarif. Kami sangat menghargai komitmen dan perhatian mereka yang luar biasa terhadap Zarif dan lain-lain pesakit mereka,” katanya ketika dihubungi FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.